Selepas 17 tahun mencipta fenomena, filem ‘Jangan Pandang Belakang’ kembali menghantui penonton di pawagam menerusi filem ‘sequel’nya yang bertajuk ‘Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu’.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] David Teo Disantau Ahli Keluarga Terdekat? – ‘Saya Makan Telur Separuh Masak Sampai 10 Biji’
Satu cabaran untuk Pierre
Diterbitkan sekali lagi oleh syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG), filem seram ini mendapat sentuhan magis daripada pelakon dan pengarah yang sudah lama mendiamkan diri dari dunia hiburan iaitu Pierre Andre.
Menurut Pierre, meskipun sudah lebih 10 tahun tidak menjadi pengarah, dia cuba untuk memberikan yang terbaik supaya karya tersebut berjaya dan sekali lagi mencipta fenomena.
Kita tahu ‘Jangan Pandang Belakang 1’ usianya sudah mencecah 17 tahun.
Apa yang saya janjikan adalah ini merupakan filem paling seram yang saya hasilkan. Ia juga berbeza dengan yang pertama.
Tambah anak kepada pelakon Khatijah Tan ini, adalah menjadi satu cabaran untuknya menghasilkan karya seram hebat memandangkan filem pertama bagi naskhah ini berjaya mendapat tempat di hati peminat 17 tahun lalu.
Saya takut sebenarnya untuk mengarah filem ini sebab ‘expectation’ orang ramai untuk filem ‘Jangan Pandang Belakang 2’ sangat tinggi. Ditambah pula dengan kutipan ‘box office’ daripada filem yang pertama.
Saya pula main gila tiba-tiba setuju untuk mengarah filem ini. Bila saya terima tawaran itu sejujurnya ia memberikan tekanan yang sangat besar buat saya.
Bahkan sebelum kita mula sesi penggambaran pun saya dah rasa tertekan sebab skrip dah ada cuma saya nakkan ia menjadi lebih baik.
Sampaikan saya susah nak tidur malam sebab risau kalau-kalau orang tak dapat menerima karya saya ini.
Nak angkat filem seram tempatan
Dalam pada itu, Pierre mendedahkan antara sebab dia menerima tawaran untuk mengarah filem ini adalah untuk mengangkat semula genre filem seram tempatan.
Jelas pelakon berusia 39 tahun ini, dia juga tidak mahu karya seram filem tempatan mempunyai jurang yang tinggi berbanding karya seram negara seberang yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati peminat.
Apa yang saya cuba nak lakukan melalui filem ini adalah saya nak mengangkat semula filem-filem seram yang pada saya semakin kurang kualitinya.
Bila kita bandingkan dengan filem seram di Indonesia, mereka sudah hasilkan banyak filem seram berkualiti dengan adanya pengarah hebat seperti Joko Anwar.
Bukanlah bermaksud saya nak bersaing dengan mereka tetapi saya tak nak kita ketinggalan jauh sangat.
Dan kalau dapat lihat, saya sengaja main tarik tali dengan penonton mengenai babak hantu sebab saya nak buatkan ia menjadi ‘real’.
Disebabkan itu saya cuba bawa karakter hantu seseram yang boleh melalui karya ini.
Filem Jangan Pandang Belakang 2
Filem ‘Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu’ ini mengisahkan tentang keluarga Mak Lang (Khatijah Tan) yang memiliki saka keluarga.
Kematian Opah (Ruminah Sidek) menyebabkan saka tersebut kehilangan tuan, dan ia mula mengikuti Mak Lang yang sudah tua.
Anak Mak Lang, Lynn (Emma Maembong) menjadi sasaran selepas mengalami pelbagai gangguan. Lynn perlu menghadapi banyak kejadian misteri yang mengganggu kehidupan sehariannya dan diselamatkan oleh Hafiz (Alif Hadi), seorang lelaki yang mempunyai perasaan terhadap Lynn.
Filem seram Pierre Andre ini dibintangi pelakon hebat seperti Emma Maembong, Iedil Putra, Alif Hadi, Khatijah Tan, Mawar Rashid, Ruminah Sidek dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk saksikan filem ‘Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu’ yang kini sudah mula ditayangkan di pawagam berdekatan anda.