Sebelum ini, viral di media sosial kisah menyentuh hati seorang murid darjah 1 yang dilihat memimpin kedua ibu bapanya yang cacat penglihatan ketika sesi orientasi di sekolahnya. Kanak-kanak perempuan itu dikatakan telah membantu serta memimpin kedua ibu bapanya dengan menunjukkan persekitaran sekolahnya sehingga kisah itu mengundang rasa simpati dan sayu dalam kalangan netizen.
Menyingkap kisah keluarga tersebut, Harian Metro melaporkan bahawa kanak-kanak bijak bernama Nur Khairunnisa Mohammad Haizir itu sememangnya mempunyai keperibadian yang sangat baik dan mulia terhadap ibu bapanya meskipun di usia yang masih kecil.
Anugerah Allah
Ibu kepada kanak-kanak kecil itu, Nur Suhaida Norwi menyifatkan kehadiran Khairunnisa dalam kehidupannya dan suami adalah anugerah yang diberikan oleh Allah kepada mereka.
Di usia yang masih terlalu muda, Khairunnisa sudah mampu berdikari sendiri, malah turut menjadi mata dan tongkat buat pasangan itu ke mana-mana sahaja mereka berada.
Apa yang mengharukan, Nur Suhaida berkata anaknya itu sangat memahami ‘kekurangan’ kedua ibu bapanya untuk bergerak ke mana-mana.
Khairunnisa membaca papan tanda dan nombor kenderaan serta bertanya orang ramai dalam setiap urusan harian kami.
Anak ini memang anugerah Allah, dia tahu dalam usia masih muda perlu berdikari dan berdiri sendiri untuk membantu kami yang buta.
Bercita-cita beli kereta besar
Menceritakan lebih lanjut keperibadian kanak-kanak itu, bapanya Mohammad Haizir berkata anaknya itu sudah mampu mengenal huruf ketika berusia lima tahun dan sering diharapkan untuk menaiki pengangkutan awam serta menempah perkhidmatan e-hailing untuk bergerak ke mana-mana tempat.
Apa yang meruntun hati, dia berkata pada usia yang masih kecil, anaknya itu sudah bercita-cita untuk membeli kereta besar ketika dewasa kelak bagi memudahkan perjalanan mereka.
Anak ini tahu kami tidak nampak tetapi tetap juga mahu menjaga kami, paling meruntun jiwa cita-citanya untuk membeli kereta besar dan bawa kami berjalan-jalan.
Saya faham kenapa anak bercita-cita mahu membeli kereta, mungkin dia nampak kepayahan untuk kami bergerak.
Meskipun kelihatan matang dan mampu berdikari, bapa berusia 36 tahun ini berkata dia dan isteri akan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Hang Tuah hingga Stesen Sultan Ismail pada setiap hari untuk menghantar dan menjemput Khairunnisa daripada sekolah kerana menyedari anaknya itu masih kecil.
Jadi inspirasi
Sementara itu, guru kelas Nur Khairunnisa, Amira Nadwa Mohd Nasir berkata muridnya itu boleh dijadikan inspirasi buat semua kerana meskipun di usia yang masih kecil, dia mempunyai jiwa yang besar dan mampu memimpin ibu bapanya ke mana sahaja mereka pergi.
Masih terkesan ayat ibunya kepada saya apabila mengandaikan Khairunnisa adalah mata dan tongkat suami isteri berkenaan.
Katanya, sikap anak muridnya itu yang kuat dan bertanggungjawab telah berjaya membuatkan dirinya tersentuh dan mengalirkan air mata.
Sumber: Harian Metro