berita

Polis Beri Amaran Jangan Buat Spekulasi, Sebar Berita Palsu Mengenai Keadaan Politik Semasa

February 25th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Susulan isu politik semasa dan pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri semalam, pihak polis telah memberi amaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyampaikan berita palsu mengenai keadaan politik negara sekarang ini.

Menerusi laporan Harian Metro, amaran tersebut dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Akan mengambil tindakan

Menurut Tan Sri Abdul Hamid Bador, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kekecohan dan menggugat ketenteraman negara. Tambahnya, beliau sempat memberitahu mengenai situasi dan keadaan semasa ketika menghadap Agong.

Saya menyampaikan taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan ketenteraman awam dan keselamatan. Proses demokrasi sedang berjalan dengan baik. Saya minta semua bersabar termasuk pemimpin parti politik, penyokong dan orang ramai.

Setakat ini tiada sebarang laporan mengenai ancaman atau isu yang boleh menyebabkan keadaan huru-hara yang diterima oleh pihak polis. Namun ,pihak polis sentiasa memantau keadaan keselamatan bagi memastikan ketenteraman negara terjamin. Di samping itu, beliau berharap orang ramai mampu menjalani rutin harian seperti biasa.

Mengharapkan kerjasama yang berterusan

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menafikan bahawa khabar angin yang mengatakan Kuala Lumpur tidak selamat dalam tempoh masa sekarang adalah tidak benar. Jelasnya, setakat ini keadaan di bandar raya itu berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

Polis Kuala Lumpur akan terus memantau aspek keselamatan dan siap siaga dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam adalah terjamin. Sehubungan itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya menghormati undang-undang dan proses demokrasi di negara ini.

Laporan tidak benar itu merujuk kepada perkara berkaitan sensitiviti perkauman mahupun agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

Tambahnya, pihak polis memerlukan kerjasama dari penyokong parti-parti politik dan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi, mencetuskan provokasi serta menyebarkan berita dan maklumat tidak benar. Tindakan tegas tanpa berkompromi bakal dikenakan terhadap pihak yang cuba menggangu ketenteraman awam.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×