berita

Prof Razak Mohaideen Kesal Dengan Finas

October 2nd, 2012 | by Ai
Kini Trending

Siapa tidak kenal dengan pengarah filem tersohor Prof Madya A Razak Mohaideen. Beliau merupakan salah seorang pengarah senior dalam industri filem tempatan dan telah mengasilkan pelbagai filem menarik sebelum ini. Terbaru, filem arahan beliau berjudul “Ngorat” bakal ditayangkan di pawagam mulai 4 Oktober ini dan ia dibarisi beberapa pelakon terkenal seperti Aaron Aziz, Erra Fazira, Nas-T, Iedil Putra serta Zain Ruffedge.

Sewaktu bertemu di majlis tayangan media filem Ngorat Jumaat lalu, Prof Razak telah melahirkan rasa kesalnya terhadap pemilihan tarikh tayangan filem tempatan. Menurut Prof Razak, pihak berwajib seharusnya memberikan hak kepada pengarah untuk memilih tarikh tayangan filem mereka sendiri. Hal ini adalah bagi mengelakkan filem mereka terpaksa menunggu tempoh yang terlalu lama untuk ia mula ditayangkan di pawagam.

“Ramai pengarah tempatan yang sudah siapkan filem, tetapi menanti masa yang terlalu lama untuk filem mereka mula ditayangkan di pawagam. Perkara ini berlaku kerana terdapat banyak filem berlonggok di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan menyebabkan sesuatu filem tersebut terpaksa menunggu tempoh hampir setahun untuk mula ditayangkan.”

“Sepatutnya sistem harus diubah dan pihak Finas seharusnya membiarkan pihak pengarah memilih sendiri tarikh tayangan yang mereka mahukan. Jadi, senang untuk pihak produksi tersebut membuat penggambaran dan set tarikh yang sesuai agar filem yang ditayangkan sejajar dengan fenomena dan situasi yang berlaku pada masa tayangan tersebut,” ujar Prof Razak penuh kesal.

Menurut Prof Razak lagi, beliau tidak menyalahkan sesiapa dalam hal tersebut. Apa yang beliau inginkan hanyalah mempunyai hak pemilihan tarikh tayangan yang sesuai untuk sesuatu filem. Disamping itu, pengarah ini turut menyuarakan rasa bimbangnya terhadap sikap penerbit yang bakal berhenti menghasilakn filem.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Apa yang saya takut adalah apabila filem terlalu banyak berlonggok di Finas, pengarah dan penerbit terpaksa tunggu terlalu lama untuk filem mereka mula ditayangkan di pawagam. Jadi, bila sudah jadi kes begini, saya takut banyak penerbit akan berhenti membuat filem,” ujar pengarah filem Ngorat ini lagi.

Agaknya sampai bila pihak pengarah dan penerbit tempatan terpaksa menghadapi perkara sebegini? Adakah pihak berwajib akan mengambil pandangan Prof Razak ini secara positif dan memberi peluang kepada pengarah tempatan untuk memilih tarikh tayangan mereka sendiri?

SKIP THIS AD ×