Program rumah terbuka sememangnya sudah sinonim dengan sambutan hari Lebaran. Sempena Lebaran tahun ini, program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI) tidak ketinggalan untuk mengadakan majlis rumah terbuka. Majlis ini telah diadakan di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama, jam 12.00 tengah hari semalam.
Menerusi majlis rumah terbuka WHI, ia telah mengumpulkan kesemua pengacara terdahulu seperti Nurfarahin Jamsari, Ezzah Aziz Fawzy, Azura Karim, Norish Karman, Maria Tunku Sabri, Ifa Raziah, Ruhil Shafinaz serta Nadia Shahrul Annuar.
Kemeriahan majlis rumah terbuka WHI ini dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian dan nyanyian dari kumpulan Ghazal Muar.
Untuk makluman, program bual bicara WHI pernah mencapai tahap rating yang membanggakan sehingga sehingga mencecah lebih satu juta penonton. Selama 11 tahun bersiaran, program WHI telah banyak menunjukkan peningkatan. Pihak penerbitnya juga sentiasa mengkaji dan mengambil inisiatif bagi memastikan kandungan dan impak program Wanita Hari Ini sentiasa menambat hati penonton.
Untuk rujukan terbaik kaum wanita, program WHI bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah hari, di TV3.