Kemelut rumah tangga pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim terus berpanjangan apabila proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa gagal mencapai kata sepakat.

Artikel Berkaitan: Beego Kesal Dengan Kenyataan Linda Hashim – ‘Kalau Isteri, Mana Boleh Keluar Rumah 9 Bulan Tanpa Izin’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Linda Hashim Dakwa Beego ‘Hilang’? – ‘Nak Harap Bapaknya, Tak Nak Ambil Tahu Pun Pasal Anak-Anak’

Menurut peguam yang mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin, laporan JKP gagal selepas wujudnya lafaz taklik yang didakwa telah dilanggar Beego.

Justeru, hakim mencadangkan Linda untuk membuka fail yang baharu dan menetapkan tarikh sebutan seterusnya pada 22 Oktober hadapan.

Dalam laporan JKP itu telah ditulis oleh pegawai bahawa ada taklik yang telah dilanggar.

Asalnya kita tak nak panjangkan cerita dan kita nak selesai cara baik di bawah Seksyen 47 tapi bila hakim mengesan ada isu yang baharu (taklik), jadi hakim minta terus masukkan isu taklik ini.

Taklik itu sebenarnya dah dilafazkan pada bulan 12 tahun lepas dan sebab itu kita nak buat pengesahan.

Hari ini pula, pihak defendan (Beego) tidak dapat hadir dan kami kira proses ini agak lama kerana sudah melebihi empat bulan.

Jadi kami meminta budi bicara pihak Hakim untuk membaca laporan JKP tanda kehadiran Encik Beego dan Alhamdulillah, hakim meneruskannya namun proses hari ini gagal.

Dan kes pada hari ini ditangguhkan kepada 22 Oktober depan.

Beego tak hadir

Terdahulu, Beego tidak hadir bagi proses mendengar laporan JKP pada Selasa kerana tidak sihat.

Pada 23 April lalu, Linda dan Beego selesai melakukan proses JKP berhubung kes perceraian mereka.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan JKP sebelum ditunda ke hari ini.

Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.

Dedah Linda, mereka pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk pada April 2023.

Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.