Buat kali ketiga, penceramah selebriti Azman Syah Alias atau lebih mesra disapa Cik Man didakwa lagi atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini (Rabu).
Artikel Berkaitan: PU Azman Berdepan 4 Lagi Pertuduhan Amang Seksual & Kelucahan Melampau
Artikel Berkaitan: Penceramah Bebas Bakal Didakwa 9 Pertuduhan Gangguan Seksual, Rogol Remaja 14 Tahun
Pertuduhan kali ke-10
Walau bagaimanapun, PU Azman, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang telah dibaca di hadapan Hakim Norhazani Hamzah itu.
Memetik laporan Berita Harian, dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada 22 Julai lalu, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Difahamkan, Mahkamah Sesyen Ampang menjadi mahkamah ketiga PU Azman didakwa berhubung kes sama selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang dan Mahkamah Sesyen Seremban masing-masing pada awal Disember dan Oktober lalu. Dengan ini, jumlah terkini dakwaan yang dihadapi penceramah berusia 41 tahun ini sebanyak 10 pertuduhan.
Dalam pada itu, semasa prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim meminta tertuduh tidak diikat jamin. Bagaimanapun, peguam bela, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin.
Jaminan perlu diberikan kerana ia penting bagi tertuduh menyediakan pembelaan terbaik untuk kesnya. Malah jaminan turut diberikan kepada PU Azman dalam pertuduhan di Mahkamah Klang dan Seremban. Ia memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan serta mengikut prosiding dan syarat mahkamah ditetapkan sebelum ini.
Sumber: Berita Harian