Penceramah bebas, PU Syed memberikan penjelasan dan pandangan mengenai pendedahan yang dibuat pelakon Myra Natasha mengenai statusnya sebagai anak tak sah taraf kepada bekas penyampai radio, Halim Othman.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Anak Tak Sah Taraf’ – Myra Natasya Dedah Halim Othman, Ibu Tak Pernah Berkahwin
Tak sepatutnya berlaku
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, perbuatan Myra itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia termasuk dalam kategori membuka aib.
Perbuatan anak kepada saudara Halim Othman (Myra) itu adalah tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana, Islam menegah seseorang itu untuk mendedahkan keaiban tersembunyi sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau orang lain.
Keadaan ini adalah bertujuan untuk menutup rahsia yang tidak sepatutnya diketahui oleh orang lain.
Dalam pada itu, penceramah berusia 42 tahun ini menjelaskan bahawa aib hanya boleh dibuka sekiranya ia berkeperluan untuk didedahkan.
Aib hanya boleh dibuka jika ianya berkeperluan utk didedah. Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang:
1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
3. Meminta fatwa daripada mufti.
4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
6. Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.
Terdahulu, Myra mendedahkan bahawa Halim dan ibunya tidak pernah berkahwin di Thailand seperti mana yang dicanang sebelum ini.
Lebih mengejutkan, pelakon berusia 29 tahun itu mendedahkan dia sebenarnya anak tidak sah taraf atau anak luar nikah.
Menurut Myra, tujuan dia menipu adalah untuk menjaga nama baik keluarga.