berita

Pukul Bapa Guna Botol Kaca Hingga Maut, Lelaki Dipercayai Kurang Siuman Sejak 20 Tahun Lalu

September 13th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Di Ipoh, Perak, seorang warga emas ditemui meninggal dunia selepas dipukul oleh anak lelakinya. Difahamkan, mereka berdua telah bertengkar sebelum insiden tersebut berlaku.

Suspek dipercayai menggunakan botol kaca untuk memukul bapanya di sebuah kedai runcit bersebelahan Pasar Gunung Rapat semalam.

Kecederaan di muka, leher dan kepala

Sekadar gambar hiasan

Polis yang menerima makluman segera ke lokasi, namun menemui mangsa terbaring dengan kesan cedera, anaknya pula berada di sebelah mangsa. Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya berusia 49 tahun itu telah bertengkar.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah, kejadian tersebut berlaku di bahagian stor kedai milik dua beranak tersebut. Tambah beliau, terdapat kesan kecederaan di muka, leher dan kepala di mayat mangsa ketika ditemui.

Masalah kurang siuman

Daripada siasatan, kita tidak menolak kemungkinan kecederaan mangsa akibat dipukul oleh anaknya sendiri menggunakan objek disyaki botol kaca. Motif sebenar kejadian masih belum diketahui setakat ini, namun kita percaya ia berpunca daripada pergaduhan. Suspek dikatakan selalu dimarahi oleh bapanya kerana tidak mendengar kata.

Ujar beliau lagi, pihak polis telah menangkap suspek dan siasatan lanjut akan diteruskan. Sementara itu, adik suspek memberitahu bahawa abangnya mempunyai masalah kurang siuman sejak 20 tahun lalu dan dia sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Pihak polis turut memberitahu bahawa mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,  untuk dibedah siasat.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×