Pada Jumaat kita dikejutkan dengan satu kemalangan maut melibatkan seorang pelajar yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipercayai dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis berhampiran dengan sekolahnya yang terletak di Meru, Ipoh, Perak.
Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Calon SPM Maut Dilanggar, Pegawai Kanan Polis Ditahan Bantu Siasatan
Meninggal dunia di tempat kejadian
Terbaharu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung kemalangan tersebut menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook mereka.
Menerusi kenyataan tersebut, hasil siasatan dibuat mereka mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan pada bahagian dada dan abdomennya akibat pelanggaran yang berlaku.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya (chest and abdoment injuries due to road traffic crash).
Dalam pada itu, pihak mereka juga mengesahkan bahawa suspek yang merupakan pegawai kanan polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian kemalangan tersebut sehinggakan menjadi perhatian wargamaya di media sosial.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 17 tahun maut ditempat kejadian manakala suspek yang berusia 44 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber: Facebook