Bukan hanya menipu keluarga sahaja, seorang juruterbang Greece turut memperdaya pihak polis dan masyarakat dunia dengan kisah menyayat hati mengenai kematian isterinya pada bulan Mei, tahun lalu.
Menerusi laporan Mirror, penipuan Babis Anagnostopoulos terbongkar apabila siasatan mendapati dia yang membunuh isterinya, Caroline Crouch.
Dakwa isteri dibunuh perompak
Kematian Caroline menjadi bualan selepas Babis menangis menceritakan kejadian yang berlaku dalam satu temu bual di televisyen, mendakwa isterinya dibunuh perompak yang menyamun rumah mereka. Dakwanya, kejadian berlaku ketika mereka berdua tidur bersama anak perempuan yang baru berusia 11 bulan. Tambah Babis, dia sempat merayu agar mereka tidak diapa-apakan sebelum dipukul hingga pengsan. Babis juga mendakwa dia diikat kumpulan penyamun bersenjata itu dan dapat melepaskan diri selepas sedar daripada pengsan serta menghubungi pihak berkuasa.
Polis Greece memulakan siasatan berdasarkan laporan tiga lelaki memecah masuk rumah pasangan itu dan menuntut wang tunai serta barang kemas, sebelum melarikan sejumlah £10,000 (RM56,943.20) yang disorokkan dalam kotak Monopoli. Sepanjang beberapa minggu, pasukan itu berusaha mengesan tiga suspek yang didakwa warga Albania sehinggalah mereka sedar bahawa bukti kes tidak berkembang dan terlalu banyak persoalan yang tidak berjawab.
Bunuh isteri dan cekik anjing
Keraguan polis berakhir selepas penelitian terhadap alat pengesan kecergasan Caroline, maklumat telefon bimbit Babis dan rakaman CCTV di kawasan kediaman itu. Babis disoal siasat selama lapan jam, sebelum akhirnya mengaku dia membunuh Caroline selepas mereka bergaduh dan dia diminta keluar dari rumah.
Susulan daripada itu, Babis mengaku membunuh isterinya itu di hadapan anak mereka dan turut mencekik anjing peliharaan hingga mati bagi mengukuhkan cerita samunnya. Pendakwa raya Giorgos Noulis, yang mengendalikan kes itu berhujah bahawa Babis mempunyai ‘rancangan terancang’ terhadap dakwaan membunuh isterinya. Kini, Babis ditahan di Penjara Korydallos sementara menanti perbicaraan.
Sumber: Mirror