Meskipun isu rumah tangga masih belum selesai sepenuhnya, ia tidak menjadi penghalang untuk pelakon, Puteri Sarah melebarkan sayap dalam dunia lakonan dan perniagaan di negara seberang, Indonesia.
Artikel Berkaitan: Syamsul Yusof Tak Tahu Isu Lafaz Cerai 2 Kali Pada Puteri Sarah
Artikel Berkaitan: ‘Mahkamah Arah Syamsul Atau Puteri Sarah Fail Dakwaan Lafaz Dua Kali Cerai’
Job di Jakarta
Menurut Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 38, dia berangkat ke Jakarta selama seminggu bagi menjalani penggambaran selain menguruskan perniagaan di sana.
Jelasnya lagi, dia hanya pergi seorang diri tanpa ditemani anak-anak, memandangkan mereka perlu bersekolah.
Saya akan ke Jakarta atas urusan kerja. Saya ada urusan penggambaran dan perniagaan di sana. Saya berada di Jakarta selama seminggu.
Anak-anak ada yang jaga, ibu saya dan pembantu rumah yang akan tengokkan mereka. Sebab mereka kena pergi sekolah.
Sarah berkata demikian sejurus usai sesi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, Sarah yang ditemui pada sidang media drama lakonan terbaharunya, Hijrah Jannah memaklumkan, antara projek yang akan dilakukan di Jakarta termasuk merakam lagu bersama band popular di sana, Govinda.
Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mendedahkan, dia bakal membintangi filem arahan sutradara tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo.
Selain perniagaan, akan ada juga projek untuk lagu bersama Govinda. Selain itu, ada juga beberapa projek filem yang akan saya terlibat bersama pengarah popular Indonesia, Mas Hanung Bramantyo.
Bukan mudah untuk mencipta nama di Indonesia, saya perlu belajar bahasa mereka. Mas Hanung sendiri yang ajar saya dan bimbing saya untuk filem yang diarahkan.
Ada beberapa filem termasuk cinta dan beberapa lagi, banyak juga.
Sementara itu, menerusi kemas kini terbaharu di laman Instagram, Sarah dilihat memuat naik sekeping foto ketika berada di lapangan terbang sekali gus menandakan dirinya akan berangkat ke Jakarta.
Terdahulu, sesi JKP terpaksa ditangguhkan apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan meminta Puteri Sarah dan suami, Syamsul Yusof untuk berbincang mengenai siapa yang mahu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah.
Mahkamah kemudian memutuskan 14 Jun sebagai tarikh baharu untuk status pengesahan lafaz cerai.
Sementara itu, dalam prosiding yang berlangsung pada sebelah pagi Khamis, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menolak permohonan Syamsul untuk melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memerintahkan agar kes itu didengar secara inter-parte (kedua-dua pihak), namun Syamsul tidak menghadirkan diri pada sebutan pertama kes itu.
Abdul Halim turut membenarkan Puteri Sarah selaku defendan kes memfailkan jawapan terhadap injunksi ex-parte dan kes disambung semula pada 8 Jun ini.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.