Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira jam 9.20 pagi Selasa bagi proses lafaz cerai.
Artikel berkaitan: ‘Syamsul Jangan Bengkak Hati Jika Puteri Sarah Bertemu Pengganti’ – Yusof Haslam
Artikel berkaitan: ‘Khas Buat Puteri Sarah, Inilah Jalan Kehidupan Yang Kita Pilih’ – Patimah Ismail
Artikel berkaitan: ‘Puteri Sarah Tetap Menjadi Menantu Kesayangan’ – Yusof Haslam Reda
Hadir persis pengantin
Hadir mengenakan busana serba putih bak pengantin, aktres berusia 38 tahun itu berkata ia sebagai tanda permulaan hidup baharu.
Of Course la baju baru hari ini. Baju ini saya baru beli. Saya harap memang akan dilepaskan. Semoga hari ini dilepaskan sebagai kehidupan saya baru bermula.
Putih ibarat merpati terbang tinggi. Kalau pergi mahkamah je asyik pakai hitam, saya depresi. Putih melambangkan hidup baharu.
Saya hari ini macam fashion show, tapi ini bukan baju nikah saya ya. Baju baru lah, vogue hari ini.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berharap agar proses lafaz cerai akan berjalan dengan lancar.
Lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan.
Terdahulu, 10 April lalu, Syamsul bersetuju melafazkan talak terhadap Puteri Sarah Liyana. Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Pada 24 Mac lalu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui proses JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menemui jalan buntu.
Puteri Sarah mendakwa usaha berdamai dengan Syamsul tidak akan berlaku, sebaliknya, nekad dengan keputusan bercerai. Malah, Puteri Sarah enggan bersemuka dengan Syamsul, sebaliknya, meminta proses JKP dilakukan dalam bilik yang berasingan.
Syamsul pula kecewa apabila harapan bertentang mata dengan Puteri Sarah melalui proses JKP tidak kesampaian.
Mewakili sepupunya, Muhammad Nazri, Syamsul bagaimanapun menghormati proses dikendalikan hampir dua jam walaupun dibuat secara berasingan hingga menyukarkannya mencari jalan perdamaian.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Video
@ohbulanofficial Replying to @Nor norani Cantik dan happy sangat Sarah pagi ini ???#ohbulan #fyp #puterisarah