Foto : Arkib Lama
Kebiasaannya, mana-mana pasangan kekasih sudah tentu ingin selalu menghubungi satu sama lain bagi menyemarakkan lagi cinta mereka. Berlainan pula dengan pengacara serta pelakon, Qi Razali, hubungan jarak jauh ini tidak memberikannya kebebasan untuk berjumpa atau menghubungi kekasihnya, Yuna yang sedang menempa nama di bumi Amerika.
“Hubungan jarak jauh ini memang mencabar kerana kami berada di dua lokasi dan zon waktu yang berbeza. Kadang kala, kami terpaksa merancang untuk membuat panggilan terlebih dahulu kerana adakalanya dia sibuk, atau saya sibuk. Bagaimanapun, Yuna baru sahaja pulang ke Malaysia beberapa hari lepas dan saya berkesempatan berjumpanya,” ujar Qi Razali yang ditemui di majlis ulang tahun Red Communications, Jumaat lepas.
Qi turut memberitahu kumpulan wartawan bahawa mereka mempunyai perancangan untuk berkahwin, namun terpaksa memberikan fokus terhadap kerjaya terlebih dahulu.
“Yuna sedang menempah nama di sana, dia berada di puncak kerjayanya. Malahan, Yuna turut mendapat pujian daripada beberapa nama besar di sana seperti Rihanna di Twitter baru-baru ini. Jadi, saya tak akan buat apa-apa yang mungkin akan membantutkan cita-citanya. Pada saya, kejayaannya menempa nama di sana memberikan motivasi kepada saya untuk lebih bekerja keras,” tambahnya lagi.
Perkembangan terbaru Qi, beliau yang baru sahaja pulang daripada Argentina berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang pengarahan.