Setiap insan di muka bumi ini pastinya memasang impian untuk tinggal di sebuah rumah yang selesa dan cantik. Namun, tidak semuanya bernasib baik untuk hidup dalam keadaan seperti itu.
Itulah nasib yang menimpa seorang warga emas di India apabila dia hanya mampu tinggal di dalam sebuah tandas awam selama berbelas tahun sebagai tempat perlindungan.
19 tahun tinggal di tandas awam
Menerusi laporan agensi berita ANI, wanita berusia 65 tahun itu sudah tinggal di tandas awam yang terletak di kawasan Rammad di Madurai, Tamil Nedu selama 19 tahun.
Dia yang bernama Karuppayi bekerja sebagai seorang pencuci tandas dan sekadar memperoleh Rs70 (RM4) sehari sebagai sumber pendapatan.
Ternyata wang yang dimilikinya itu tidak mengizinkan dirinya untuk menyewa rumah atau sebuah bilik yang selesa.
Pernah mohon pencen warga emas
Menurut wanita malang itu, dia sudah memohon pencen warga emas untuk membantunya dalam kehidupan seharian namun permohonannya itu gagal.
Malah apa yang lebih menyedihkan, Karuppayi berkata dia sebenarnya mempunyai seorang anak namun tidak pernah sekali pun menjengahnya selama ini.
Saya pernah memohon pencen warga emas namun tidak berjaya.
Kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain, saya terpaksa tinggal di tandas ini.
Bantu warga emas ini
Kisah Karuppayi itu kemudian viral di laman media sosial di India dan ramai pihak tampil bagi membantu wanita berkenaan.
Tidak kurang juga rata-rata daripada netizen mengharapkan supaya agensi kerajaan India membantunya yang sudah sekian lama hidup dalam kedaifan.
Sumber: ANI, India Today