Pondok Karya Kreatif Venture dan Akademi Raja Azrey kali ini menganjurkan Malam Pelancaran dan Tonton Perdana Telefilem ‘Toyol Kuala Muda’ di mmCineplexes, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Artikel Berkaitan: Raja Azrey Sedia Platform Eksklusif Untuk Bakat Baharu Menyinar Dalam Dunia Lakonan
Artikel Berkaitan: Raja Azrey Seronok Kerja Belakang Tabir, Tak Sangka Iklan Raya ‘Egois’ Arahannya Dapat Sambutan
Ajar pelbagai teknik lakonan
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Raja Azrey berkata, pelancaran kali ini bertujuan untuk menghargai peserta program ARA Siri 1.
Acara istimewa ini adalah penghargaan kepada semua peserta Program ARA Siri 1 yang telah berlangsung di Pulau Pinang dari 28 hingga 30 September 2024. Telefilem ini adalah hasil daripada program intensif tersebut, yang bertujuan mengetengahkan bakat baharu dalam bidang lakonan.
Sebagai pelakon yang berpengalaman luas, Raja Azrey telah memperkenalkan pendekatan holistik dalam melahirkan pelapis seni tanah air. Melalui Program ARA, peserta mendapat pendedahan mendalam dalam perkara yang difokuskan seperti mengasah teknik lakonan yang tepat termasuk ekspresi emosi, kawalan suara, dan gerak tubuh yang meyakinkan. Di samping itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai persiapan sebelum ke set penggambaran yang sebenar.
Ini merangkumi aspek seperti memahami etika berpakaian, menyusun jadual penggambaran, menjaga disiplin masa, serta mengenali keupayaan diri dalam membawa setiap watak yang diterima.
Teori dan amali bergabung
Tambah Raja Azrey lagi, salah satu cabaran utama pelakon baharu adalah kekurangan penghayatan rasa dan emosi, selain kurangnya kajian watak sebelum memasuki set penggambaran. Oleh itu, penekanan turut diberikan terhadap pemahaman menyeluruh mengenai proses di belakang tabir. Ini bertujuan untuk memupuk kemahiran bekerjasama dengan kru serta pengarah di set, sekaligus memastikan kelancaran keseluruhan proses penggambaran.
Telefilem ‘Toyol Kuala Muda’ adalah bukti nyata bagaimana teori dan amali bergabung dalam membentuk karya berkualiti tinggi, dengan peserta diberi peluang beraksi dalam projek sebenar yang diwujudkan khas atas inisiatif pihak Pondok Karya Kreatif. Cerita ini akan mula ditayangkan pada umum pada 10 Disember 2024 di saluraran Youtube Raja Azrey Tv Channel.
Sinopsis penuh telefilem ‘Toyol Kuala Muda’
Foto: Puan Jasmin Hajar (Jasmin Talent Agency) Rakan Kerjasama
Kisah bermula di sebuah kampung kecil yang damai di Kuala Muda, Pulau Pinang, di mana Sood, seorang pembaiki sampan yang gigih, berhasrat meminang Eryna, anak kepada Kak Semah Lempang. Malangnya, hajat Sood ditolak mentah-mentah dan dia dimalukan di hadapan orang kampung. Kak Semah merendahkannya kerana status Sood yang dianggap tidak layak hanya kerana pekerjaannya yang sederhana.
Labu, pekerja setia Sood yang tidak sanggup melihat bosnya dihina, memberikan satu idea yang gila: menjadi toyol. Dengan harapan untuk mempercepatkan kekayaan Sood, mereka merancang mencuri duit Kak Semah dan penduduk kampung lain. Sood, yang sudah terbakar dengan rasa malu dan marah, akhirnya bersetuju dengan cadangan tersebut. Tidak lama kemudian, kampung Kuala Muda menjadi kecoh apabila wang mula hilang secara misteri dari rumah-rumah penduduk.
Orang kampung juga sering di ganggu. Kejadian luar biasa ini mengejutkan semua, termasuk Ali Rasputin, Nina Anggun, dan Watie Ligat, yang beramai-ramai mendesak Ketua Kampung Sulaiman Chotabai untuk bertindak. Namun, Sulaiman yang kelakar dan kurang cekap hanya bergantung pada Google untuk mencari penyelesaian, mencetuskan lebih banyak kekeliruan daripada penyelesaian sebenar.
Setiap langkah yang diambil ternyata sia-sia, termasuk usaha menggunakan kacang hijau sebagai pelindung, yang langsung tidak memberi kesan. Ketegangan semakin meningkat apabila semakin ramai penduduk menjadi mangsa kecurian, membuatkan suasana kampung semakin kacau-bilau.
Di tengah kekalutan itu, Eryna, anak Kak Semah, mencadangkan kaedah unik: meletakkan udang di hadapan rumah. Penduduk kampung teragak-agak tetapi akhirnya mencuba juga, dengan harapan ia dapat menghentikan serangan toyol yang semakin menggila.
Adakah strategi ini akan berjaya? Mampukah mereka menangkap toyol yang merampas ketenangan kampung mereka? Atau, mungkinkah rahsia besar Sood akhirnya terbongkar? Saksikan kesudahan penuh debar dan humor dalam “Toyol Kuala Muda”, telefilem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyelitkan nilai kemasyarakatan, kekeluargaan, dan perjuangan maruah diri di tengah cabaran hidup.