berita

Raja Lawak Sindir Menyindir?

January 16th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Teater Raja Lawak

Semalam telah berlangsungnya majlis pratonton media ‘Teater Raja Lawak’ bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Teater yang pada asalnya telah dipentaskan 20 tahun dahulu, kini dipentaskan semula dan pihak penganjurnya masih lagi mengekalkan konsep skrip asal yang ditulis oleh En. Zakaria Ariffin.

“Skrip kali ini saya ada selitkan sedikit pembaharuan, namun begitu hampir 98% saya masih lagi mengekalkan latar pada tahun 1992, di mana ia menceritakan tentang pelawak gaya bangsawan.”

“Dari segi pemilihan pelakon, saya masih lagi cuba mengekalkan pelakon-pelakon asalnya seperti Jalil Hamid sebagai Osman Bombay, Imuda sebagai MG Ramli dan Rasdi Daud sebagai promoter panggung. Cuma terdapat beberapa watak sahaja digantikan dengan pelakon baru seberti Husin Tak Bai yang sebelumnya dimainkan oleh Sabri Yunus digantikan dengan Abon dan watak Juliah lakonan asal Tiara Jacquelina digantikan dengan Eliza Mustafa,” ujar En. Zakaria kepada OHBULAN!

Mengulas lebih lanjut mengenai pementasan teater ini, OHBULAN! dapati terdapat beberapa skrip yang dilontarkan seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu mesej dan ia seolah-olah ingin menyindir sesetengah pihak. Antara skrip dilontarkan adalah berbunyi, “Janji haruslah ditepati, jangan berjanji dengan banyak produksi tetapi akhirnya tidak dapat nak berikan komitmen yang sepatutnya” dan “sekiranya ingin mejadi pelawak baru, jangan meniru gaya pelawak senior akan tetapi carilah identiti sendiri.”

Lantas En. Zakaria menjawab, “Ini bukan untuk menyindir. Semua orang patut sedar kita kena ada identiti sendiri, jangan meniru gaya orang lain. Lagipun skrip tersebut memang saya sudah tulis sejak 20 tahun dahulu dan ia sememangnya sudah sedia ada diselitkan mesej sebegitu. Jadi, itu bukan tujuan saya untuk menyindir sesiapa.”

“Memang mesej-mesej tersebut saya ingin sampaikan kepada penonton agar semua pihak sedar.”

Bagi yang ingin menonton pementasan ‘Teater Raja Lawak’ ini ada boleh dapatkan tiket menerusi online di wwww.ticket2u.biz atau secara langsung di Istana Budaya ketika waktu pejabat.

Harga tiket dijual dalam lingkungan RM20, RM30, RM40 dan RM50. Tarikh pementasan akan bermula pada 16 hingga 25 Januari ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

SKIP THIS AD ×