Bagai sudah menjadi kewajipan buat Dato’ Siti Nurhaliza bersama suami untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah pada tiap-tiap tahun bagi menyambut puasa di sana.
Tetapi sayangnya, tahun ini agak berbeza kerana penyanyi nombor satu negara itu tidak berkesempatan untuk mengulangi rutin tahunannya.
Ramadhan tahun ni berbeza sebab biasanya saya akan ke Mekah untuk menyambut puasa di sana. Tetapi tahun ini tak dapat sebab keadaan suami yang belum betul-betul pulih. Sebenarnya kami rindu untuk berpuasa di sana.
Namun menurut penyanyi ini, sambutan Aidilfitri tahun ini masih sama seperti dahulu di mana dia akan menyambut Hari Raya pertama di Kuala Lumpur bersama suami terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman.
Menyentuh soal kerjayanya pula, Dato’ Siti bercerita mengenai perkembangan album terbaru yang akan mula dirakam tidak berapa lama lagi.
Insya-Allah saya akan mula masuk studio dalam minggu hadapan atau akhir Ramadhan untuk merakam tiga hingga empat buah lagu dahulu sebelum menyambung semula rakaman selepas raya nanti.
Dato’ Siti yang ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Universal Music Malaysia semalam turut menyatakan terdapat lebih kurang sepuluh buah lagu yang bakal dimuatkan ke dalam album tersebut namun senarai penuh masih dalam perbincangan.
Bagaimanapun, untuk semua peminat setia Dato’ Siti, di sini OHBULAN! ada sertakan beberapa keping foto penyanyi yang semakin cantik ini untuk tatapan anda semua. Semoga terhibur!