berita

Ramai Datang Ziarah, Menangis Teresak, Anak Lelaki ‘Cemburu’ Dengar Kisah Kebaikan Abu Bakar Omar

April 21st, 2021 | by Amat
Kini Trending

Hari Jumaat lalu, industri seni tanah air kehilangan insan yang cukup berbakat dalam bidang lakonan iaitu Allahyarham Haji Abu Bakar Omar. Difahamkan, arwah meninggal dunia disebabkan oleh sakit jantung dan menghidap beberapa lagi penyakit termasuk kolestrol dan masalah usus.

Artikel berkaitan: Abu Bakar Omar Meninggal Dunia Di Hari Jumaat

Kehilangan arwah Abu Bakar Omar sangat meninggalkan kesan terutamanya buat insan yang rapat dengannya iaitu ahli keluarga sendiri. Anak lelakinya iaitu Mohd Zainuddin Abu Bakar menceritakan segala peristiwa yang berlaku selepas acara pengebumian arwah. Sebaknya…

Tenang bapak persis tidur

Zainuddin sebagai salah seorang anak paling rapat dan mengenali ayahnya bongkar kisah yang tidak pernah diduga. Malah, dia turut cemburu dengan pemergian ayahnya di hari Jumaat pada bulan Ramadan ini. Katanya, sewaktu menguruskan jenazah, arwah kelihatan lembut dan seolah sedang tidur. Tiada sebarang kotoran pun yang keluar dari tubuh jenazah ketika dimandikan.

Bapak… Aku rasa akulah orang yang paling kenal bapak. Rupanya aku salah, banyak rahsia bapak yang hanya timbul selepas bapak kembali ke dakapan rahmat Allah. Aku kenal bapak aku dari sisi bukan seorang bapak, sama seperti kalian kenal.

Anak wayang yang mengisi ceritera nusa dan bangsa, dipuji, dicerca, dimarah, disayangi kesan watak yang diberikan. Antagonis watak yang terlalu sinonim zaman mudanya. Anak pasar borong yang dipenuhi dengan pelbagai ragam dan rasa hingga beliau digelar Bakaq Bolong. Mengambil tanggungjawab menjaga keluarga seawal usia darjah tiga. Membantu tok wan di pasar borong. Namun hakikat bapak jauh dari itu.

Allah jemput di penghulu segala hari dalam penghulu segala bulan. Jumaat pertama Ramadhan dalam fasa Rahmat Allah. Bapak dimandi dan dikafankan oleh kami semua anak-anaknya, malah lebih dari itu. Anak-anak yang menumpang kasih beliau sebagai bapa. Sangat mudah diuruskan. Jenazah yang sangat lembut, tenang bapak persis tidur. Tiada kotoran yang keluar dari badan bapak tika istinjak dan dimandikan.

Seolah tahu masanya tiba

Tambahnya lagi, sehari sebelum arwah Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir, dia telah meminta cucunya untuk rapikan diri dan meninggalkan pesan buat anaknya untuk mencari pasangan hidup supaya boleh menemani ibu. Ketika di hari pengebumian jenazah, ramai yang tidak dikenali datang berkunjung dan melawat. Tidak cukup dengan itu, ramai juga yang menelefon berceritakan tentang kebaikan arwah semasa di dunia.

Bapak seolah tahu masanya telah tiba. Diminta cucu sulung untuk rapikan dirinya beberapa hari sebelum itu. Di pesan kepada adikku mencari pasangan buat peneman bonda. Itulah pesannya berulang kali hingga hari terakhir. Bapak tunggu sehingga semua kami adik-beradik sampai. Barulah bapak meninggalkan kami dalam keadaan sangat tenang, persis tidur gayanya.

Jenazah diuruskan dengan teratur dan lancar sekali. Ribuan doa pengampunan dan kebaikan dibacakan untuk bapak dari khalayak yang tidak pernah bapak kenali mereka. Tak kurang juga ramai yang mengatakan bahawa ia adalah kematian yang dicemburi.

Sungguh bapak, aku cemburu lihat bapak disayangi orang luar. Ramai yang menghubungiku secara peribadi menceritakan baiknya bapak dalam membantu mereka yang aku tak pernah tahu pun. Dari masjid hingga marhaen biasa menceritakan kepadaku apa yang dikau bantu mereka.

Ramai tidak dikenali datang

Lebih menyayat hati, selepas acara pengebumian selesai, Zainuddin terserempak dengan satu keluarga yang tidak dikenalinya datang berkunjung di tanah perkuburan. Mereka turut menceritakan arwah Abu Bakar Omar sering membantu keluarga itu dan sudah menganggap arwah sebagai ayah angkat mereka.

Seorang ibu kematian dua orang anak yang tak pernah dikau kenali dengan hati yang sangat tulus tanpa sebarang kepentingan sekadar memaklumkan kepadaku bahawa beliau membaca setiap hari hampir ratusan kali Surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas didoakan khusus untuk anak-anaknya dan bermula dari saat kematianmu. Secara khusus ibu ini memasukkan sekali namamu bapak akan dilakukan sepanjang hayatnya. Itulah bicara janjinya dengan ku.

Ratusan yang hadir solat jenazahmu. Sebahagian besarnya bukan dari orang yang kami kenali. Bukan juga teman-teman lakonanmu tapi jelata yang sangat menyayangimu. Tanah kubur kelompok keluarga kita yang lazimnya sangat berselut umpama sawah bergenang air dalamnya tapi Allah takdirkan untuk persemadianmu itu tanahnya merah lembut tanpa setitis air yang sangat sempurna liangnya.

Usai ziarah pusaramu pada hari berikutnya, aku terserempak dengan satu keluarga yang teresak nangisnya bertanyakan di mana kuburmu tanpa kenali siapa aku. Mereka menceritakan betapa bapak telah sangat membantu hidup mereka hinggakan mereka mengaku bahawa bapak adalah ayah angkat mereka. Sungguh aku tidak pernah kenal mereka.

Sumber: Mohd Zainuddin Abu Bakar

SKIP THIS AD ×