Penyanyi lagu ‘Lembah Kesepian’, Haqiem Rusli sebelum ini pernah memberi bayangan bahawa dia akan bermain gitar bersama Leo sewaktu malam kemuncak AJL34. Ternyata, bayangan yang diberikan Haqiem itu tepat sekali. Ini kerana, di awal persembahan dia sudah menunjukkan bakatnya bermain alat muzik tersebut.
Namun, bukan itu sahaja yang mencuri tumpuan netizen. Penampilan Datuk Rosyam Nor sebagai ayah semasa di pertengahan nyanyian Haqiem turut meraih perhatian netizen. Sedihnya!
Lembah Kesepian
Memilih konsep bertemakan ‘Ayah’ sebagai inspirasi di pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) 34, Haqiem Rusli berjaya membuat para penonton terpukau dan bersedih. Klip video mengenai luahan anak-anak terhadap pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah sebelum bermulanya persembahan dan petikan gitar yang dimainkan oleh Haqiem dan Leo, tenyata membantu memberikan emosi buat penonton yang melihat mahupun yang mendengarnya.
Isi tersirat yang ingin disampaikan Haqiem ketika membawa lagu dan konsep tersebut, sekali lagi berjaya mencuri perhatian netizen apabila Datuk Rosyam Nor muncul di pentas sambil bermonolog dengan dirinya. Antara ayat yang diungkap pelakon veteran itu buat Haqiem ialah ‘aku halalkan setiap titik keringat ku, yang jatuh tertitis-titis demi melihat kau tersenyum walaupun aku senang dalam lara, makan dalam payah, kerana kau adalah zuriat aku’. Datuk Rosyam Nor turut kelihatan menitiskan air mata semasa mengeluarkan kata-kata tersebut kepada Haqiem.
Berjaya beli jiwa penonton
Rata-rata netizen memberikan pujian buat Haqiem Rusli kerana memilih konsep ‘Ayah’ sebagai inspirasi persembahannya di malam kemuncak AJL34. Tambah netizen, isu anak-anak meninggalkan ibu dan ayah di rumah orang tua dan membiarkan kebajikan mereka terabai semakin banyak berlaku sejak belakangan ini.
Dengan adanya konsep persembahan seperti yang dilakukan Haqiem, ianya sedikit sebanyak membuka mata penonton tentang pengorbanan seorang ayah mahupun ibu. Segelinitir netizen turut meluahkan perasaan rindu terhadap arwah ayah mereka yang telah meninggal dunia. Lagu ‘Lembah Kesepian ‘ nyanyian Haqiem Rusli itu berjaya merangkul Anugerah Pilihan Peminat Setel pada malam kemuncak AJL semalam. Di Instagram, Haqiem turut memberikan ucapan terima kasih buat kesemua yang menjayakan AJL34 dan para peminatnya.
Sumber: TV3 Malaysia