berita

‘Ramai Sebenarnya Macam Ni’ – Pensyarah Mati Dibunuh Suami Sendiri, Lelaki Ini Beri Pandangan

August 5th, 2020 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Seorang pensyarah universiti awam maut dijerut suami sendiri dipercayai kerana tidak berpuas hati mangsa menfailkan penceraian. Tragedi kejam yang berlaku dua hari sebelum Aidil Adha ini dianggap selesai apabila motif pembunuhan dikenal pasti.

Artikel berkaitan : Berang Isteri Fail Cerai, Sukarelawan NGO Jerut Leher Hingga Mati

Di Facebook, Akhtar Syamir, berkongsi pandangan peribadinya mengenai isu ini. Menurutnya, kes ini sepatutnya dijadikan pengajaran kepada pasangan berumah tangga.

Ramai lelaki gila macam ni

Isteri failkan penceraian, dibunuh. Ramai sebenarnya lelaki gila macam ni. Kita orang luar macam pelik kenapa ada wanita yang tak tinggalkan suami yang sangat jahat dan toksik. Rupanya kita tidak tahu yang si isteri tu sebenarnya ketakutan.

Saya tidak menggalakkan penceraian, tetapi ada orang memang tidak layak mempunyai isteri yang menyayangi dirinya sepenuh hati. Contohnya lelaki yang menjerut isterinya sendiri sehingga mati.

Mudah juga bagi orang yang “over-positive” menggalakkan si isteri bertahan, berdoa siang malam supaya si suami berubah. Tetapi, telinga yang mendengar, tidak merasai kulit yang sakit dan hati yang disiat-siat.

Yang dipukul, dipukul, yang disakiti setiap hari, terus disakiti. Yang menasihati sebenarnya tidak mengerti. Hanya yang mengalaminya yang tahu. Bukan mereka tidak mahu lari. Tetapi mereka mungkin takut. Mereka mungkin tidak tahu ke mana nak pergi.

Benar, penceraian itu nampak seperti tidak baik. Tetapi ianya ada di dalam Islam. Kerana manusia tidak semuanya baik. Ada yang jahat seperti syaitan tetapi bertopengkan manusia. Tidak semua orang mampu berubah. Ada yang akan membinasakan. Ada yang tergamak membunuh isteri sendiri.

Penderaan emosi itu benar

Penderaan emosi itu benar. Penderaan fizikal itu juga benar. Pembunuhan itu pun wujud. “Gaslighting” dan “narcissist” adalah dua benda yang kita orang Melayu kurang pendedahan. Bukalah mata. Tengok orang yang berdekatan dengan kita. Bukan untuk menyibuk, tetapi untuk bersedia jika diperlukan.

Yang penting, jangan menambah beban yang ditanggung dengan menolak permintaan pertolongan dan memperkecilkan orang yang meminta bantuan. Bayangkanlah jika anda orang terakhir yang boleh membantu tetapi anda pilih untuk tidak masuk campur atau tidak mempercayai. Tidakkah anda rasa bersalah?

Tak dinafikan ada ibu-bapa sendiri yang tidak mahu masuk campur langsung masalah rumah tangga anak. Ini sepatutnya tidak berlaku. Anak yang dah berkahwin tidak bermakna tanggungjawab itu terhapus terus. Ahli keluarga dan ibu-bapa masih menjadi antara orang terdekat yang akan menjadi arah tuju apabila masalah berlaku.

“Kau buatlah, aku bunuh kau!” Ini adalah ugutan bunuh. Jika ada di antara pembaca penulisan ini pernah mendengar ayat seperti ini. Cepat-cepatlah bertindak. Sama ada selamatkan orang yang diugut atau buat laporan jika anda yang diugut.

Utamakan nyawa dan masa depan

Sama juga dengan ugutan dengan pisau, ugut nak simbah asid dan sebagainya. Bila dah sampai tahap ini, anda sebenarnya dalam bahaya. Tolong sedar.

Utamakan nyawa dan masa depan. Jangan hanya memandang dan menilai malu secara berlebihan.

Kepada pembunuh seperti ini, semoga Allah membalas kekejaman kamu. Kepada lelaki-lelaki yang bergelar suami panas baran seperti ini, insaflah. Tali gantung bakal menanti kamu jika kamu terus melayan amarah itu.

Ada kesilapan yang boleh kita perbaiki. Namun, ada kesilapan yang tidak boleh diundur kembali.

Tidak semestinya suami, teman lelaki juga. Mungkin ada yang ingat, selepas kahwin dia akan berubah. Tetapi fikirkan kebarangkalian anda yang akan pergi dahulu sebelum sempat dia berubah. Jangan nanti lama-kelamaan, alasan kerana “fikirkan anak” nyawa yang melayang.

Semoga kita semua dilindungi.

Sumber : Akhtar Syamir

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×