
Pelakon Razzuan Rosli mengakui pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya dalam industri seni selepas tidak menerima tawaran berlakon.
Artikel Berkaitan: Razzuan Rosli Fasih Bahasa Mandarin, Anggap Satu Kelebihan – ‘Semakin Luas Peluang Dapat Sesuatu’
Artikel Berkaitan: Peluang Datang Sekali Seumur Hidup, Razzuan Rosli Mahu Teroka Segala Cabang Seni
Razzuan Rosli hampir putus asa

Ketika ditemui OhBulan!, Razzuan, 35, mendedahkan dia hanya menerima satu tawaran berlakon sepanjang tahun lalu sehingga perkara itu hampir mematahkan semangatnya untuk terus berada dalam industri seni.
Tahun lalu saya pernah rasa mungkin dah tak ada rezeki dalam industri, dalam setahun itu saya ada satu job sahaja. Kemudian tak ada sebarang tawaran.
Bagaimanapun, Razzuan berkata dia tetap berusaha menghadiri sesi uji bakat dan tidak pernah berasa malu melakukannya walaupun sudah mempunyai pengalaman dalam dunia lakonan.
Saya adalah seorang pelakon yang selalu pergi uji bakat. Walaupun mungkin ada yang sudah kenal, saya masih lagi menjalani sesi uji bakat.
Ada juga kawan-kawan casting tanya bukan dah banyak berlakon ke, kenapa datang lagi? Saya kata kalau banyak berlakon dan dikenali, saya tiada di sini (lokasi uji bakat) kerana memang dari dulu ini adalah ruang untuk saya cari kerja. Saya tak pernah rasa malu.
Razzuan Rosli berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama Sepenuh Hati Rindu yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar pada Rabu
Razzuan Rosli dapat watak utama

Mengulas lanjut Razzuan bersyukur kerana akhirnya dia berjaya memegang watak utama dalam drama Sepenuh Hati Rindu selepas hampir berbelas tahun dalam industri lakonan.
Berbelas tahun juga saya tunggu untuk dapat watak utama ini. Saya bersyukur kerana diberi peluang ini dan akan cuba sebaik mungkin.
Kalau ikutkan saya bermula sejak 2011 tetapi peluang untuk masuk dalam industri pada 2019 daripada Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).
Saya masih menganggap diri ini sebagai pendatang baharu kerana banyak lagi pengarah-pengarah dan syarikat produksi yang belum sempat saya bekerjasama.
Ujar Razzuan, dia tidak pernah membandingkan perjalanan kerjayanya dengan pelakon lain yang mendapat peluang lebih awal. Sebaliknya dia percaya setiap orang mempunyai rezeki masing-masing.
Ada masanya dalam hidup yang saya rasakan mungkin sudah berakhir karier saya sebagai anak seni. Saya tidak pernah rasa orang lain dapat peluang awal, saya pula terlambat. Rezeki itu milik Allah.
Semuanya ada baik dan buruknya dalam setiap perjalanan karier seorang anak seni. Walaupun saya agak terlambat tetapi saya sangat menghargai setiap tawaran yang diberi.
Bukan mudah untuk dapat peluang besar. Jadi, contohlah kalau dapat drama yang hebat tetapi saya hanya ditawarkan untuk berlakon dua babak, saya tetap menghargainya.
Dalam perkembangan lain, drama Sepenuh Hati Rindu lakonan Razzuan bakal disiarkan bermula 27 Oktober depan di slot Samarinda TV3.
Selain Razzuan, drama tersebut turut menampilkan pelakon Shahz Jaszle dan Farah Nabilah sebagai teraju utama.








