Mungkin ramai yang bertanya begini, ‘Battle of The Year tu cerita apa? Best ke? sebaik sahaja anda membaca tajuk di atas. Betul, kan?
Tak mengapa, bukan anda seorang yang tidak tahu mengenai filem ini kerana ramai rakan penulis juga mengatakan tidak pernah mendengar atau melihat promo Battle of The Year.
Apapun, di sini OHBULAN! ingin kongsikan plot-plot menarik dalam filem berkenaan untuk memberi anda gambaran yang lebih jelas.
Filem arahan Benson Lee ini menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Chris Brown, Josh Peck, Josh Holloway, Caity Lotz dan Laz Alonso.
Bagi mereka yang membesar dengan tarian breakdance, pasti akan menggemari filem ini kerana ia mengisahkan tentang asal-usul dan kebangkitan semula kumpulan B-boy di Amerika Syarikat.
Untuk pengetahuan anda, tarian yang popular menerusi budaya hip-hop ini telah mula diperkenalkan oleh belia remaja berbangsa Afrika-Amerika dan Latin di New York sekitar awal tahun 1970.
Bagaimanapun seiring dengan perkembangan arus dunia, A.S telah kehilangan bisa dalam seni tarian tersebut sebaliknya Korea pula yang sering menjadi juara setiap kali pertandingan Battle of the Year diadakan.
Bagi menaikkan semula nama A.S dalam tarian b-boy, seorang bekas jurulatih bola keranjang, Josh Holloway (Jason Blake) telah dipertanggungjawakan untuk melatih sekumpulan anak muda untuk menyertai pertandingan Battle of the Year (BOTY) di luar negara.
Sebagai permulaan, Blake telah membubarkan kumpulan penari yang lama dan merekrut orang baru terdiri daripada remaja yang mempunyai masalah disiplin seperti Do Knock, Rooster (Chris Brown), Sniper, Bambino dan ramai lagi.
Sepanjang tempoh latihan, Blake mengamalkan sistem kekerasan di mana setiap ahli yang gagal mengikut arahannya akan disingkirkan satu persatu.
Oleh kerana semakin terbiasa dengan sikap tidak bertolak ansur Blake, kumpulan yang diberi nama Dream Team itu akhirnya berjaya bersatu sebelum ke pertandingan BOTY.
Namun begitu, masalah tidak hanya terhenti di situ apabila Rooster yang juga antara salah seorang penari terbaik dalam kumpulan tersebut tidak dapat menyertai pertandingan BOTY kerana mengalami kecederaan sewaktu berlatih.
Siapakah yang lebih layak menggantikan tempat Rooster? Dalam masa sama, penonton juga tertanya-tanya tentang kemampuan Dream Team dalam mewakili A.S dan merampas semula takhta BOTY dari juara bertahan.
Meskipun keseluruhan jalan cerita berkisarkan tentang tarian B-boy, namun filem ini turut menyelitkan unsur-unsur kemanusiaan yang mendorong seseorang untuk lebih berusaha dalam mencapai sesuatu.
Nilai-nilai itu dapat dilihat pada watak Blake yang kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan selepas berputus asa dan mengabaikan dirinya sejak kematian isteri dan anak.
Selain daripada itu, pengarahnya juga bijak menyuntik elemen berkenaan di dalam diri setiap penari yang sering bersikap pentingkan diri sebelum mereka bersatu.
Tidak dapat dinafikan bahawa kesungguhan dan keikhlasan mereka untuk mengejar kejayaan benar-benar menyentuh perasaan hingga penulis perasan terdapat segelintir penonton yang mengesat air mata di akhir tayangan filem ini tempoh hari.
Jadi, jika anda ingin melihat sendiri kehebatan Chris Brown menari dan kesukaran kumpulannya dalam menempuh pelbagai dugaan untuk ke pertandingan tersebut, jangan lupa saksikan Battle of the Year yang telah mula ditayangkan sejak 21 November 2013 di pawagam berdekatan.
Apapun, di sini OHBULAN! sertakan trailer filem berkenaan di bawah ini untuk tontonan anda. Semoga terhibur!