berita

Review : Berjayakah Krew Enterprise Menghidupkan Semula Kaptain James?

May 14th, 2013 | by Ai
Filem Antarabangsa

Star Trek Into Darkness

Bagi semua peminat filem Star Trek, jangan ketinggalan untuk menyaksikan sambungan terbaru filem tersebut yang dijadualkan bakal menemui penonton pada pertengahan Mei ini diseluruh pawagam berhampiran anda.

Filem Star Trek Into Darkness kali ini mengisahkan tentang kehadiran seorang musuh baru yang dikenali sebagai Khan, lakonan Benedict Cumberbatch.

Konflik antara Khan dengan krew USS Enterprise bermula apabila Khan telah datang menyerang ibu pejabat Starfleet sehingga menyebabkan ketua mereka, Pike (Bruce Greenwood)  tewas dalam serangan berkenaan. Kematian Pike telah menyebabkan Kaptain James T. Kirk (Chris Pine) menyimpan dendam dan setelah mendapat kebenaran daripada pegawai atasannya Fleet Admiral Marcus, James dan krewnya telah pergi memburu Khan bagi menuntut bela atas kematian ketua mereka.

Hasil buruan Kaptain James dan krewnya mendatangkan hasil apabila Khan bersetuju untuk menyerah diri dan dibawa ke markas krew USS Enterprise untuk di soal siasat. Sedikit persoalan timbul di sini, mengapakah Khan begitu mudah menyerah diri kepada krew Enterprise? Apakah motif sebenar Khan menyerang ibu pejabat Starfleet?

Star Trek Into Darkness

Dalam pada itu, menerusi filem Star Trek kali ini, krew USS Enterprise telah menerima seorang krew baru yang dikenali sebagai Carol Marcus lakonan Alice Eve. Sewaktu melibatkan diri dalam krew tersebut, Carol telah memalsukan identiti sebenar dirinya dan perkara ini telah menimbulkan sedikit keraguan dalam diri Komander Spock (Zachary Quinto). Siapakah sebenarnya Carol dan apakah tujuan sebenar Carol menyertai Krew Enterprise? Kalau nak tahu, jangan lupa untuk saksikan filem tersebut di pawagam berhampiran anda mulai Khamis ini.

Aksi-aksi Mencemaskan Dalam Star Trek Into Darkness

Permulaan plot cerita ini mengisahkan tentang misi krew Enterprise yang ditugaskan untuk pergi ke Planet Nibiru bagi memusnahkan gunung berapi yang hampir meletus. Sewaktu misi tersebut, Spock telah diarahkan untuk turun ke kawasan lava gunung berapi dan pada ketika itu tali yang menghubungkan Spock dengan kapal angkasa Enterprise tiba-tiba terputus. Apakah akan terjadi seterusnya? Berjayakah krew Enterprise menyelamatkan Spock daripada lava gunung berapi?

Star Trek into Darkness

Dalam pada itu, antara babak yang turut mencemaskan penonton adalah sewaktu Khan dan Kaptain James diarahkan untuk terbang ke kapal angkasa pegawai Fleet Admiral Marcus bagi melaksanakan satu misi, dan sewaktu proses penerbangan tersebut, helmet yang dipakai oleh James tiba-tiba sahaja retak akibat tekanan atmosfera di angkasa lepas yang terlalu kuat sehingga menyebabkan penglihatan James terbatas. Secara tidak langsung insiden ini turut mencemaskan krew Enterprise kerana bimbang akan keselamatan kaptain mereka. Apakah akan terjadi seterusnya? Mampukah Kaptain James dan Khan sampai ke kapal angkasa Fleet Admiral Marcus dengan selamat?

Star Trek Into Darkness

Antara babak lain turut mencemaskan penonton adalah sewaktu kapal angkasa USS Enterprise hampir terhempas akibat serangan daripada Vengeance di orbit Bumi. Bagi menyelamatkan anak-anak kapal, Kaptain James telah sanggup mengorbankan nyawanya dengan memasuki kawasan radioaktif semata-mata untuk membetulkan semula kipas kapal angkasa mereka supaya kapal tersebut dapat berfungsi dengan baik.

Akibat terdedah dengan kawasan radioaktif, Kaptain James akhirnya meninggal dunia.

Star Trek Into Darkness

Namun begitu, hanya terdapat satu penawar sahaja yang mampu menghidupkan semula James, iaitu menerusi DNA atau darah Khan. Untuk mendapatkan DNA tersebut,  pegawai komunikasi USS Enterprise, Nyota Uhura (Zoe Saldana) ditugaskan untuk turun ke Bumi dan membawa Khan pulang ke kapal angkasa mereka. Berjayakah Uhura membawa pulang Khan dan adakah Khan bersetuju untuk membantu memulihkan nyawa James? Segala-galanya akan terjawab apabila anda menonton filem Star Trek Into Darkness ini nanti.

Bagi semua peminat-peminat filem Star Trek, jangan lupa untuk menyaksikan sambungan filem ini kerana ia mampu memberi kepuasan yang luar biasa buat diri anda. Filem kali ini bukan sekadar mengetengahkan semangat juang antara ahli pasukan, malah ia turut diselitkan dengan eleman kasih sayang antara krew-krew Enterprise.

Untuk ketahui apakah kesudahan filem Star Trek Into Darkness, jangan lupa untuk saksikan filem ini dalam bentuk 3D & IMAX 3D pada 15 Mei, manakala untuk tayangan rasmi diseluruh pawagam adalah pada 16 Mei 2013.

Apa pun, jom layan sedikit sedutan trailer filem tersebut selepas ini :

SKIP THIS AD ×