berita

Review Filem : Taken 2 Atau Stolen, Yang Mana Satu Perlu Ditonton?

October 18th, 2012 | by M
Filem Antarabangsa

Sekarang ini di wayang sedang ditayangkan dua filem yang mempunyai idea utama yang agak sama tetapi masing-masing dengan kelainannya yang tersendiri. Dua filem yang saya maksudkan ialah Taken 2 dan Stolen.

Persamaan antara Taken 2 dan Stolen ialah kedua-dua filem ini berkisarkan penculikan.

Saya faham anda semua ingin menikmati filem yang menarik di wayang, tetapi bukan semua orang sanggup membelanjakan wang untuk melihat dua filem yang mempunyai idea yang kelihatan sama. Jadi mari saya pecahkan Taken 2 dan Stolen kepada kepingan-kepingan kecil supaya anda dapat membuat keputusan sendiri sama ada untuk menonton Taken 2 atau Stolen.

Jalan cerita Stolen, hanya rancak dipermulaan?

Walaupun kedua-dua Taken 2 dan Stolen mengisahkan penculikan, jalan cerita mereka mempunyai beberapa kelainan. Taken 2 mengisahkan penculikan si ibu manakala Stolen mengisahkan tentang penculikan si anak.

Tambahan lagi, penjenayah di dalam Taken 2 merupakan penjenayah kejam dan ganas. Mereka sanggup melakukan apa saja bagi membalas dendam kepada Brian Mills. Penculik di dalam filem Stolen juga bermotifkan balam dendam, tetapi dengan sebab yang agak berbeza dengan Taken 2.

Di dalam Stolen, Will Montgomery lakonan Nicholas Cage memainkan peranan sebagai ketua perancang untuk satu kumpulan pencuri. Di awal filem ini kita dapat lihat bagaimana bijaknya perancangan Nicholas Cage yang membuatkan mereka dapat mencuri di sebuah bangunan walaupun aktiviti mereka telah pun dihidu pihak berkuasa.

Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbalahan di antara Nicholas Cage dan salah seorang ahli kumpulannya. Perbalahan itu diakhiri dengan tembakan ke kaki kiri kawannya. Disebabkan perbalahan itu, Nicholas Cage tidak sempat untuk menaiki van rakan mereka dan terpaksa melarikan diri berseorangan dengan merampas dan membawa kereta polis. Bersama dengannya, sejumlah wang rompakan bernilai 10 juta dollar.

Fuh.. dah ada mirip-mirip Grand Theft Auto pula kan?

Tetapi sehebat-hebat tupai melompat, pasti jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan hero cerita ini. Namun begitau, penulis skrip filem ini bijak menulis cerita yang mempunyai unsur teka-teki.  Ketika ditahan, polis tidak menemui sebarang wang rompakan pada Nicholas Cage.

Jadi dimanakah wang itu? Adakah wang itu dibakar untuk menyelamatkan dirinya dari hukuman penjara yang lebih panjang, atau wang tersebut sebenarnya disorok di lokasi rahsia? Seperti biasa, saya tak boleh beritahu perkara sebenar. Lagi pun cerita ini agak perlahan walaupun dimulakan dengan permulaan yang rancak. Jadi teka-teki inilah yang membuatkan fikiran anda sentiasa fokus.

Punca penculikan

Di dalam Stolen, cerita yang sebenar bermula sebaik sahaja Nicholas Cage dibebaskan dari hukuman penjara 8 tahun. Hendak dipendekkan cerita, anak gadisnya diculik oleh seorang pemandu teksi. Pemandu teksi tersebut mengugut Nicholas Cage supaya menyerahkan 10 juta dollar yang dicurinya pada lapan tahun dahulu.

Jika di dalam Taken 2, penculik ialah segerombolan pengganas yang kejam. Penculik di dalam Stolen hanyalah seorang pemandu teksi yang berkaki tempang. Ya, dia ni lah rakan subahat Nicholas Cage yang ditembak di kaki semasa awal cerita.

Jadi adakah Nicholas Cage masih mempunyai 10 juta dollar tersebut? Atau boleh jadi duit tersebut memang benar-benar telah dibakar untuk menghapuskan bukti. Jika ya, bagaimana agaknya si hero ini mencari duit untuk mendapatkan 10 juta dollar untuk menebus anak gadisnya? Adakah sekali lagi dia akan pergi ke jalan yang gelap bagi menyelamatkan anaknya? Dapatkan jawapan kepada semua teka-teki ini dengan menonton Stolen.

Barisan pelakon Stolen, adakah Nicholas Cage sekadar azimat pelaris?

Dari segi barisan pelakon, secara jelas filem Stolen mengatasi Taken 2. Siapa yang tak mahu tonton filem lakonan Nicholas Cage. Hampir kesemua filem lakonan beliau meletup. Lihat sahaja Con Air, Face Off, National Treasure, dan juga Ghost Rider.

Walaupun pelakon utama Stolen memang dikenali ramai, pelakon-pelakon lain dalam Stolen (selain dari Josh Lucas) hanyalah pelakon biasa. Jadi adakah ini bermakna filem Stolen hanya menggunakan populariti Nicholas Cage untuk menarik perhatian ramai? Adakah ini salah satu bentuk promosi untuk meraih keuntungan dari pelakon hebat walhal jalan cerita ala-ala kadar sahaja?

Bagi saya ya.. Memang cerita ini sekadar mempergunakan reputasi Nicholas Cage untuk menangguk di air keruh. Berbeza dengan Taken 2 yang cuba memberi penekanan hanya kepada elemen aksi, filem Stolen cuba untuk memberi penekanan kepada pelbagai elemen.

Malangnya, selain daripada babak rompakan dan aksi kejar-mengejar dipermulaan cerita, setiap elemen yang cuba ditampilkan pada babak-babak seterusnya hanya suam-suam kuku sahaja.

Kesimpulan

Agak sukar sebenarnya untuk saya buat kesimpulan disini kerana lain orang, lain selera. Tetapi bagi saya filem Stolen hanyalah sebuah filem yang mempergunakan nama Nicholas Cage sebagai pelaris. Tiada sesuatu pun didalam Stolen yang boleh membuatkan anda teruja. Walaupun permulaan filem Taken 2 tidak serancak Stolen, tetapi sekurang-kurangnya anda tidak akan bosan di pertengahan cerita. Jadi jika anda tertanya-tanya yang mana perlu ditonton, Taken 2 atau Stolen? Saya cadangkan anda tonton Taken 2.

The following two tabs change content below.

M

Founder OHBULAN! yang kini bergiat secara serius dalam industri media & pengiklanan. Beliau membantu para klien mencapai pelanggan yang berpotensi melalui kempen pengiklanan secara menyeluruh dan berkesan.

SKIP THIS AD ×