berita

Review Filem: Frozen Padat Dengan Lawak Jenaka

November 28th, 2013 | by Ai
Filem Antarabangsa

"FROZEN" (Pictured) ELSA. ©2013 Disney. All Rights Reserved.

Dengan membaca tajuk di atas, pasti pembaca mendapat sedikit gambaran mengenai filem animasi baru terbitan Walt Disney Animation Studio berjudul Frozen: Anna & Permasiuri Salji.

Untuk pengetahuan anda, pawagam-pawagam di Malaysia menayangkan filem animasi ini dalam versi asal Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu untuk memberi pelbagai pilihan kepada penonton.

Dari apa yang diperhatikan sewaktu penulis menghadiri majlis pra-tonton filem ini dua hari lepas, ramai penonton terhibur dan ketawa terbahak-bahak dari awal hinggalah ke akhir tayangan.

Anna_Olaf_Kristoff_Sven

Barangkali penonton lebih peka dengan lawak jenaka dalam Bahasa Melayu yang diselitkan menerusi watak Olaf (Ray ERA fm), Puteri Anna (Liyana Jasmay) dan Kristoff.

Bukan itu sahaja, penonton juga berpeluang mendengar suara merdu Liyana Jasmay, Marsha Milan dan Ray menyanyi di dalam filem berkenaan.

Filem arahan Cris Buck ini mengisahkan tentang pengembaraan epik Puteri Anna bersama Kristoff untuk mencari kakaknya, Puteri Elsa (Marsha Milan) yang memiliki kuasa ajaib.

FROZEN

Di awal tayangan Frozen, penonton didedahkan dengan pengorbanan Puteri Elsa yang terpaksa menjauhkan diri dari semua orang selepas hampir membekukan adiknya secara tak sengaja.

Menurut seorang pakar yang memulihkan Anna, Elsa perlu mengawal kuasa yang dimilikinya sebelum insiden lebih teruk terjadi dan mengancam semua orang.

Namun pada hari pertabalan Puteri Elsa sebagai Permaisuri Arrendell, Anna telah mengundang kemarahannya. Akibat daripada itu, Elsa tidak mampu mengawal kuasa luar biasanya dan menyebabkan kerajaan Arrendell dilitupi salji selamanya.

FROZEN

Selepas dituduh sebagai perempuan sihir, Elsa melarikan diri ke Gunung Timur di mana dia telah membina sebuah istana ais sebagai tempat persembunyiannya.

Anna dan Kristoff terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti ribut salji dan bertemu dengan Olaf dalam usaha mereka untuk mengembalikan musim panas.

Namun di saat Elsa mula merasa aman, datang pula ancaman lain yang ingin membunuhnya supaya sumpahan ke atas Arrendell dapat dihapuskan.

"FROZEN" Elsa's ice palace. ©2013 Disney. All Rights Reserved.

Dalam masa yang sama, Elsa sekali lagi telah mencederakan adiknya apabila dia secara tidak sengaja telah membekukan hati Anna.

Kalau anda nak tahu apa seterusnya yang terjadi kepada Puteri Elsa, Puteri Anna dan Arrandell, jangan lupa saksikan filem animasi muzikal ini di pawagam berhampiran bermula hari ini (28 November 2013).

Secara keseluruhannya, Frozen yang mempunyai elemen kasih sayang antara keluarga dan keberanian amat sesuai ditonton oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa pada musim cuti persekolahan ini.

Apapun untuk semua pembaca OHBULAN!, di sini kami sertakan trailer filem berkenaan untuk tontonan anda. Semoga terhibur!

SKIP THIS AD ×