Meskipun, pernah menerima kritikan yang kurang baik daripada juri All Stars Gegar Vaganza (ASGV) ketika membawakan lagu ‘Sayang Disayang’ pada tahun lalu, penyanyi Azharina Azhar meluahkan rasa syukur apabila golongan kenamaan dan masyarakat di luar sana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk membawakan lagu irama klasik.
Artikel Berkaitan: Azharina Terkejut, Berita Palsu Kematian Tersebar – ‘Saya Cuma Tak Dapat Tidur Semalam, Bukan Meninggal’
Artikel Berkaitan: Azharina Menangis Bukan Sebab Komen Juri – ‘Saya Bersalah Dengan 4 Orang Guru’
Rezeki tidak putus
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Azharina berkata, dia menerima banyak undangan persembahan semasa dan selepas tamat ASGV. Lebih teruja, mereka memintanya untuk menyanyikan lagu irama klasik.
Alhamdulillah, semua rezeki yang tidak putus-putus ini Allah yang beri. Sebelum ASGV bermula, saya terpaksa menolak banyak tawaran sebab mahu memberi fokus kepada pertandingan tersebut. Namun, ada sesetengah show saya tidak boleh tolak kerana sudah di ‘lock‘ lebih awal.
Apa yang membuat saya teruja lagi, kebanyakan show yang saya pergi semua minta saya menyanyi lagu irama klasik. Mereka kata, saya boleh membawakan lagu klasik dan semua lagu lain dengan baik. Paling penting, gaya dan suara saya tak sama macam penyanyi asal. Mereka suka tengok saya buat persembahan di ASGV.
Terbaru, saya menyanyi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-76 Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti. Saya diminta untuk menyanyi lagu ‘Sapu Tangan’ di depan Tuanku. Saya rasa sangat berbesar hati, dapat undangan tersebut.
Hari yang sama juga, saya terima undangan untuk menyanyi di Malacca Music Hall. Ketua Menteri Melaka jemput saya untuk menyanyi enam buah lagu di sana.
Berbicara lebih lanjut, anak kelahiran Sabah ini berkata, bukan semua penyanyi berpeluang sepertinya untuk melakukan persembahan di dalam istana. Oleh sebab itu, dia melakukan persiapan yang bersungguh-sungguh setiap kali menerima jemputan tersebut. Jelasnya lagi, dia sudah menyanyi di istana sejak umurnya 17 tahun.
Saya sejenis buat kerja dan melakukan persiapan bersungguh-sungguh. Kalau orang yang kenal saya, mereka tahu macam mana saya bekerja. Tak kisah lagu apa sekalipun, saya akan berlatih dan InsyaAllah akan memberikan yang terbaik.
Saya percaya, ramai orang menghargai dan nampak bakat saya. Bahkan, ada yang masih kecewa apabila berfikir mengenai nasib saya ketika bertanding di ASGV.
Bagi saya program tersebut hanya tempoh beberapa bulan sahaja, tetapi perjalanan saya yang sebenar adalah sekarang. Sebab itu saya bersyukur masyarakat dan peminat nampak. Mereka tidak buta untuk menilai setiap apa yang saya buat. Lagipun memang saya pernah kata sebelum ini, saya menyanyi untuk mereka. Saya sendiri dah tak fikir pasal program tersebut. Bagi saya ianya sudah berlalu dan saya sudah buat yang terbaik.
Selain menerima pelbagai undangan, OhBulan! sempat bertanya kepada Azharina mengenai perkembangan lain sempena tahun 2024. Ujar pelantun suara ‘Rawan’ ini, dia bakal menghadiahkan satu kejutan buat peminatnya tidak lama lagi.
Tak lama lagi saya akan hadiahkan satu kejutan buat peminat. Saya bakal keluar lagu baru. Kami dalam proses nak buat muzik video. Saya harap peminat semua suka. Bagi saya kejutan ini merupakan hadiah 360 darjah. Pasti ramai yang teruja. Saya pun teruja nak kongsikan kepada semua.