berita

Rimba Bara Belum ‘Terkubur’! Ini 5 Sebab Korang Kena Tonton Rock 4: Rockers Never Dai

February 21st, 2020 | by Amat
Shout Out!

Sekual filem Rock, Rock Ooo! dan Rock Bro sebelum ini mendapat sambutan luar biasa. Kali ini, pengarah Mamat Khalid menghadiahkan buah tangan istimewa buat penonton filem di Malaysia dengan menampilkan filem Rock 4: Rockers Never Dai yang mengisahkan perjalanan karier 4 sahabat Royal Slackers menempuh suka duka dalam industri muzik.

Mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 20 Februari 2020, penonton bakal mengimbau kembali suka duka perjalanan muzik rock tempatan yang mampu bertahan hingga ke hari ini. Bagi memastikan muzik rock tidak dilupakan, empat sekawan dibantu pengurus otai berusaha sedaya yang mampu bagi menyambung kembali legasi muzik ini.

Berjaya atau tidak? Kami kongsikan lima sebab kenapa anda wajib serbu pawagam dan menonton Rock 4: Tockers Never Dai!

1. Sarat dengan komedi

Hampir keseluruhan filem Rock 4 mempamerkan unsur komedi yang menghiburkan. Siapa tak kenal Mamat Khalid, filem arahan beliau seperti Man Laksa, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang boleh dikatakan antara filem terbaik sepanjang zaman. Perwatakan menerusi lakonan Sharwani NS sebagai Dio dan Adam John sebagai Rayyan menghidupkan jalan cerita filem Rock 4 dari awal babak hingga tamat. Tidak ketinggalan juga watak Acap lakonan Nazimi FahmiHazama (Omar) dan Bulan Terry (Seri) juga membantu menghidupkan setiap babak dengan jayanya.

2. Kritikan terhadap industri muzik

Kebanyakan filem arahan Mamat Khalid memang tidak terlepas dalam memberi kritikan sosial terhadap isu semasa. Filem Rock 4 turut mengetengahkan kritikan terhadap perkembangan muzik rock yang jelas mengikut peredaran zaman. Kritikan ini dilihat menerusi watak Dio yang melihat perubahan drastik perbezaan muzik rock 1990an dan era moden setelah tersedar dari koma akibat kemalangan 20 tahun lalu.

3. Penampilan otai

Selain itu, Rock 4: Rockers Never Die turut menampilkan pelakon-pelakon dari sekual filem Rock (2005), Rock Ooo! (2013) dan Rock Bro (2016) iaitu Pekin, Khir Rahman, Dato Awie, Kamarool Hj Yusof dan Madnoor Hendrix.

Mereka juga berperanan membantu memberi inspirasi kepada kumpulan anak muda rock ini terus berjuang dalam industri muzik tanah air. Dato Awie merupakan idola dan sumber inspirasi kepada 4 sahabat ini. Malah, dia turut memberi idea menukar nama band dari Royal Slackers ke Rimba Bara 2 sebagai memperingati kumpulan rock lagenda terdahulu.

4. Empat orang sahabat

Mamat Khalid turut mengangkat tema persahabatan yang ditonjolkan menerusi hubungan 4 ahli band diberi nama Royal Slackers sebelum ditukar nama ke Rimba Bara 2. Kumpulan rock anak muda ini diuruskan oleh Dio yang tersedar dari koma akibat kemalangan.

Erti persahabatan sebenar mula terserlah apabila watak Omar lakonan Hazama terjebak dengan dunia dadah. Bagaimanapun, empat sahabat yang lain termasuk Dio bersama-sama berusaha membantu Omar pulih dari ketagihan dadah itu. Di sini jelas melihat nilai persahabatan yang diangkat menerusi filem arahan Mamat Khalid.

5. Lagu cover pun best!

Penyanyi Hazama selaku pelakon di dalam filem ini juga menyanyikan semula lagu Kau Yang Bernama Seri sebagai runut bunyi untuk filem Rock 4. Selain itu, anda juga akan dihidangkan dengan suara Adam John menerusi lagu ciptaannya sendiri bertajuk Rock N Roll Takkan Mati. Memang terbaik!

Rockers Never Dai

Pendek kata, semua penonton di Malaysia perlu serbu pawagam berhampiran anda dan saksikan telatah 5 ahli kumpulan Rimba Bara 2 demi memperjuangkan muzik rock tanah air. Lima ahli ini mempunyai sejarah hidup tersendiri dan akan dikongsi menjadi satu kisah di dalam Rock 4: Rockers Never Dai bermula 20 Februari 2020 ini.

Jom beramai-ramai support filem Malaysia!

SKIP THIS AD ×