Sudah bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai 1 Ogos yang lalu, drama ‘Aku Yang Kau Sakiti’ lakonan Zamarul Hisham, Rita Nadira dan Redza Rosli ini berjaya mencuri tumpuan penonton setia ‘kaki drama’.
Mana taknya, watak antagonis lakonan Rita Nadira dalam drama ini membuatkan penonton ternanti-nanti setiap episod.
Perasaan terpendam di hati
Kalau korang nak tahu! drama ini berkisahkan Amanda (Rita Nadira) merupakan seorang anak yatim selepas kehilangan bapanya, Tuan Danial yang dibunuh kerana berhutang dengan sindiket pinjaman wang. Sejak kejadian itu, Amanda menetap di rumah peninggalan bapanya dengan ibu saudaranya, Mak Su (Jasmin Hamid) dan sepupunya, Sara (Iman Suhana) yang bersifat materialistik dan sering meminta wang daripada Amanda.
Amanda juga dijaga oleh keluarga Tuan Zaki (Zamarul Hisham) yang merupakan bapa kepada rakan baiknya, Bella (Fify Azmi). Tuan Zaki rasa bersyukur dan terhutang budi dengan sahabat baiknya iaitu bapa Amanda dan sekaligus telah menganggap Amanda sebagai anaknya sendiri.
Bukan mudah untuk melepaskan perasaan yang terpendam di hati, begitu juga Amanda yang telah melalui keperitan kehilangan bapanya ketika di bangku sekolah. Dek kerana kecelakaan tersebut juga hubungan Amanda dan orang sekelilingnya yang disangkakan indah ternyata penuh dengan rahsia dan sifat dendam di sebaliknya. Apakah yang bakal berlaku jika Amanda bertindak untuk membalas dendamnya itu?
Rykal (Redza Rosli) setia berada di sisi Amanda sepanjang dia di dalam kesusahan dan berhasrat untuk melamar Amanda sebaik sahaja dia menamatkan pelajarannya di universiti. Namun, Amanda menolak lamaran tersebut dengan alasan masih tidak bersedia untuk berkahwin. Pada Amanda, dia ingin mengatasi trauma kehidupannya dan mencari kebahagiaan seperti rakan-rakannya yang lain.
Amanda mempunyai misinya yang tersendiri. Dia mula menyusun langkah untuk mendapatkan jawatan dalam syarikat Tuan Zaki untuk mencapai misinya tersebut. Dalam diam juga, dia sedang menyusun langkah untuk membalas dendam ke atas apa yang terjadi kepada keluarganya. Dapatkah Amanda mencapai ‘misi’ hidupnya tersebut? Tambah menarik, apakah pula kesudahan rahsia yang dipendam Amanda itu?
Sekadar info, drama ini disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam. Penonton boleh menyaksikan drama ini juga menerusi iQIYI satu jam selepas siaran di kaca televisyen.
Drama terbitan Saphire Screen Sdn Bhd ini mempunyai 20 episod dan diarahkan oleh Riza Baharudin serta nukilan skrip oleh Farhana Fauri. Drama ini turut menampilkan beberapa barisan pelakon handalan yang lain seperti Fify Azmi, Jasmin Hamid, Aleza Shadan, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.