berita

#RoadToAJL38: ‘Ikhlas & Beri Jiwa Dalam Mencipta Lagu’ – Hael Husaini

December 23rd, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Sebanyak 12 lagu bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL38) yang bakal disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun hadapan.

Artikel Berkaitan: #RoadToAJL38: Siapa Layak Menang Vokal Terbaik? Aina Abdul, Ernie Zakri Atau Marsha Milan?

Artikel Berkaitan: #RoadToAJL38: Lima Koleksi Menarik Fesyen Aina Abdul Sepanjang Bertanding Di Pentas AJL

Meskipun masih berbaki sekitar tiga bulan lagi, namun kehangatan pentas berprestij AJL kian dirasai bukan sahaja dalam kalangan peminat malah peserta itu sendiri.

Syukur karya diberi kepercayaan

Baru-baru ini, OhBulan! sempat menemu bual Hael Husaini untuk bertanyakan pengalaman dan perasaannya selepas melayakkan diri ke anugerah berprestij AJL buat kali yang keempat. Selain itu, empat lagu ciptaannya yang didendangkan oleh beberapa penyanyi terkenal turut dipertandingkan di pentas AJL sebelum ini.

Saya bersyukur apabila setiap kali karya-karya saya diberi kepercayaan di pentas berprestij, jadi semestinya saya bersyukur.

Walau bagaimanapun, pemilik nama Hael Husaini Razmi berkata, dia tidak meletakkan apa-apa harapan pada AJL kali ini tetapi hanya ingin melakukan yang terbaik dalam persembahannya.

Bila berada di fasa pentas AJL selalunya rasa lega sikit berbanding semi final. Bila di pentas AJL, saya nak lakukan persembahan terbaik untuk menaikkan industri muzik Malaysia pada masa hadapan.

Tambah Hael lagi, kemunculan komposer muda termasuk bakat baharu dalam industri muzik sebenarnya sangat bagus kerana mereka boleh bertukar pendapat selain meningkatkan karya seni tempatan.

Bagi saya AJL  adalah satu tempat untuk meraikan industri muzik Malaysia, tapi pada pandangan peribadi saya, AJL banyak membantu karier saya sebagai seorang anak seni.

Apabila ditanya mengenai lagunya yang banyak kali melayakkan diri ke AJL, Hael berkata dia ikhlas dalam mencipta lagu malah tidak meletakkan target untuk mana-mana karya.

Apabila saya diberi kepercayaan untuk membuat lagu kepada artis lain atau saya sendiri, sebenarnya saya tak ada letak target untuk kena mencapai piawaian ke AJL. Tapi bagi saya, jika lagu itu bagus, dia ada nilai sendiri. Sama ada layak atau tidak, ianya akan sentiasa berada di hati peminat masing-masing.

Setiap karya itu ada nilai dan lakukan sesuatu itu tanpa mengharapkan pembalasan. Bagi saya, setiap kali nak buat muzik, biar ikhlas dan berikan jiwa dalam lagu itu. Percaya pada rezeki.

Sekadar info, Hael Husaini bakal berentap di pentas AJL38 dengan mempertaruhkan lagu ‘Bintang’ hasil karya kerjasama Hael bersama TV3 dan Alternate Records Sdn Bhd.

SKIP THIS AD ×