Seorang penganggur yang merupakan bapa kepada tiga orang anak dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini kerana merogol anak kenalannya, tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Bapa Rogol Anak Tiri Sampai Hamil 4 Bulan – ‘Setiap Hari Mereka Tidur Bersama..’
Rogol budak 12 tahun
Memetik laporan Harian Metro, Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhi hukuman itu ke atas Mohamad Zainol Hafiz Mohamad Azmi, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu di sebuah rumah di Tanjong Karang, pada 6 Februari 2022.
Berikutan daripada itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Nurul ‘Izzati Mohamad memohon hukuman berat ke atas tertuduh kerana kesalahan itu serius dan membabitkan mangsa bawah umur.
Mangsa juga mempunyai hubungan rapat dengan isteri dan anak-anak tertuduh. Sebagai orang dewasa sepatutnya menjaga dan melindungi kanak-kanak dan bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berumur 12 tahun.
Bagaimanapun, peguam Izzat Amir Saharudin yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan mengambil kira ia kesalahan pertama tertuduh dan masih mempunyai tiga anak masih kecil.
Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 4 September lalu.
Sumber: Harian Metro