Tahun lepas, tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat buat pelakon lelaki tinggi lampai, Bront Palarae yang telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan hatinya secara rahsia.
Sebaik berita itu diketahui, Bront membuat keputusan untuk menafikan perkara tersebut sebelum kemudiannya mengaku sudah berkahwin dan meminta maaf kerana mengadakan majlis secara tertutup tanpa memberitahu ramai kenalan termasuklah rakan artis dan media.
Meskipun tidak lagi menyembunyikan statusnya, namun Bront masih jua enggan berkongsi identiti mahupun gambar isterinya di dada-dada akhbar dan laman sosial.
Bagaimanapun akhbar Berita Harian semalam membongkar nama dan pekerjaan isteri Bront yang dianggap sangat misteri selama ini.
Menerusi sisipan B*Pop, akhbar itu menulis wanita bertuah yang memiliki Bront itu dikenali sebagai Rozi Izma dan sudah lama berkecimpung dalam dunia di sebalik tabir selain bergelar penolong pengarah.
Jika sebelum ini ramai menyangka Bront sengaja menyorokkan isterinya, namun hakikatnya Rozi sendiri enggan dirinya dihujani publisiti.
Maaf, saya tidak selesa terlalu terdedah dengan publisiti. Lagipun, saya ni macam tomboy.
Dalam pada itu, Bront memberitahu dia dan Rozi sudah lama berkenalan sejak berbelas tahun lalu sebelum mereka berkahwin.
Saya dan Rozi sudah kenal hampir 15 tahun sebelum kami berkahwin. Rozi soulmate saya. Rozi kenal saya sebelum saya punya nama lagi, kami melangkah bersama dalam industri hiburan. Susah senang bersama. Rozi pernah bekerja dalam bidang pengiklanan dan saya pula lakonan. Sekarang, kami sama-sama mengusahakan syarikat Pixel Play mengikut kemahiran masing-masing.
Untuk pengetahuan anda, hubungan percintaan Bront dan Rozi yang juga pengarah bersama filem Kolumpo itu pernah terjalin selama empat tahun sebelum terputus di tengah jalan.
Bront dan Rozi kini menghadiri Festival Filem Cannes di Perancis untuk meluaskan perniagaan
Rozi adalah rakan sekolah saya. Kami sebenarnya tidak berniat menyembunyikan perkahwinan, tetapi saya lebih selesa soal peribadi tidak dikongsi dengan peminat. Majlis perkahwinan kami hanya untuk ahli keluarga saja. Teman artis pun tidak diundang hingga ada antaranya yang merajuk.
Sementara itu, OHBULAN! ada juga cuba mencari gambar pasangan yang sedang berada di Cannes, Perancis ini namun gagal. Hebat sungguh kedua-duanya menjaga privasi mereka.
Kredit foto: Instagram Bront Palarae