Nampaknya bukan sahaja Almy Nadia dan Misha Omar yang sedang menghitung hari untuk bergelar isteri. Pelakon veteran, Ruminah Sidek, juga akan mendirikan rumahtangga sekali lagi dengan seorang duda berusia 70 tahun pada 17 Mei 2014.
Difahamkan, Ruminah atau lebih mesra disapa Mak Mah bertemu dengan bakal suaminya, Al Fatah Rahim sewaktu sama-sama mengerjakan umrah pada bulan Mac lalu.
Selama ini, setiap kali mengerjakan umrah, perasaan saya hanya biasa sahaja tetapi kali ini, saya berasa sangat sunyi. Terasa mahu berteman pula.
Saya berdoa kepada Allah agar memperkenankan doa saya kerana saya sudah penat hidup sendirian.
Hendak dijadikan cerita, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya berkenalan dengan Fatah dan dia berkongsi cerita iaitu hajatnya berdoa agar dipertemukan jodoh. Mendengar cerita itu, kami pun berbincang hasrat mendirikan rumahtangga.
Mak Mah bersama tunangnya, Al Fatah
Sama seperti Wan Maimunah yang berkahwin semula baru-baru ini kerana memerlukan kehadiran suami sebagai pembimbing, Mak Mah juga bersyukur dikurniakan peneman hidup yang baru.
Saya bersyukur dan tidak sangka sebenarnya dapat menghabiskan baki hidup saya dengan seorang suami. Alhamdulillah.
Untuk makluman, Mak Mah dan Fatah telah bertunang pada 19 April lalu dan kedua-duanya menerima lima dulang hantaran termasuk sebentuk cincin untuk Mak Mah.
Mak Mah sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan enam orang anak termasuklah Adlin Aman Ramlie. Manakala Fatah yang merupakan seorang peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan pula mempunyai 10 orang anak dengan perkahwinan terdahulu.
Sumber: Malaysian Digest