berita

Saintis Malaysia Lancar CoronaTracker, Orang Awam Boleh Perolehi Data Terkini Wabak Dari Seluruh Dunia

January 29th, 2020 | by Shira
Kini Trending

Sejak kebelakangan ini, wabak koronavirus (2019-nCoV) yang melanda negara China dilihat semakin merebak sehingga telah mencetuskan kebimbangan seluruh penduduk serata dunia. Wabak ini juga dikatakan telah tersebar ke 14 buah negara dari pelbagai benua termasuk Perancis, Amerika Syarikat, Jepun, Thailand dan juga Malaysia.

Berikutan dengan kejadian ini, seorang saintis data dari Malaysia iaitu, Dr. Lau Cher Han bersama lebih daripada 400 sukarelawan dari pelbagai negara secara rasminya telah melancarkan satu laman web CoronaTracker.com yang membantu untuk memantau berita serta mendapatkan data dan maklumat tentang penyebaran wabak koronavirus (2019-nCoV) ini.

Pelancaran CoronaTracker.com

Laman web CoronaTracker ini mempunyai artikel berita yang mengumpulkan pelbagai sumber dipercayai dan data-data tersebut kemudian akan ditapis oleh sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada saintis data dan pakar perubatan professional. Bukan itu sahaja, CoronaTracker yang telah dilancarkan pada 27 Januari yang lalu melalui Facebook Live juga bertindak sebagai Dashboard Analytics dimana ianya mempunyai data penting  yang diperoleh daripada CDC, JHU, Tencent dan sebagainya. Ianya juga mempunyai visual presentation termasuk jumlah kes wabak, jumlah kematian, masa wabak dan negara-negara yang terkesan dengan wabak ini.

Menurut ketua projek, Dr. Lau Cher Han berkata, sebagai seorang saintis dia tidak boleh berdiam diri dengan melihat wabak koronavirus yang semakin membimbangkan ini terus menjejaskan kesihatan orang ramai dan disebabkan itu dia bernekad untuk menubuhkan laman web CoronaTracker untuk membantu penduduk seluruh dunia.

Mengesan koronavirus

Sementara itu, CoronaTracker ini turut mengesan dan menjejaki penembusan koronavirus dari masa ke masa di samping memaparkan berita setempat dimana maklumatnya telah ditapis oleh para penyelidik sebelum ianya disiarkan.

Keadaan 2019-nCov semakin membimbangkan. Sebagai seorang saintis data, saya berminat untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan saya untuk ‘berkahwin’ dengan teknologi dan data sains dan menubuhkan satu platform dimana orang ramai boleh menggunakannya untuk menjejaki dan mendapat gambaran keseluruhan mengenai penyebaran virus tersebut di seluruh dunia.

Platform ini disediakan untuk mengumpul dan menganalisis data. Dalam masa 36 jam, kami berjaya mengumpul beratus-ratus sukarelawan dari Malaysia, Australia, Jepun, Filipina, Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Terima kasih kepada kerja mereka, CoronaTracker.com kini hidup.

Tambahnya lagi, setiap berita yang dipaparkan juga akan disahkan oleh para penyelidik yang terdiri daripada golongan professional termasuk saintis dan pakar perubatan. Sekiranya anda ingin mengetahui maklumat terkini mengenai wabak koronavirus, anda boleh layari https://www.coronatracker.com/

Sumber: Dr. Lau Cher Han