Suasana di dewan Zepp, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu, dipenuhi dengan keajaiban apabila konsert yang ditunggu-tunggu oleh semua, “SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR” membawa peminat melewati perjalanan muzik yang mendalam dan penuh ‘healing’!
2,500 orang banjiri Zepp
Penyanyi dan penulis lagu berbakat asal Malang, Indonesia, Sal Priadi, berjaya menawan emosi ribuan peminatnya dengan persembahan yang luar biasa. Kehadiran penonton seramai 2,500 orang ternyata menjangkau jangkaan awal dan sokongan yang diterima menjadikan malam konsert itu satu kenangan yang tidak terlupakan.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny, pihaknya amat berterima kasih kepada semua penonton yang hadir. Tanpa sokongan penonton, konsert ini tidak mungkin akan berjaya.
Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada penaja penerbangan, Citilink Indonesia, rakan penaja, Intan Gelombang dan Futurace, rakan radio rasmi, ERA, rakan media rasmi, Gempak, serta semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini.
Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh artis tempatan iaitu Sissy Imann, yang membawakan lagu ‘Pesanan Ayahanda’.
Kemudian, bintang yang ditunggu-tunggu, Sal Priadi muncul dengan tepukan yang gemuruh lantas mendendangkan lagu ‘Semua Lagu Cinta’ yang diikuti dengan ‘Biar Jadi Urusanku’, ‘Dimana Alamatmu Sekarang’, dan ‘Ada Titik-titik Di Ujung Doa’ dari album keduanya, Markers & Such Pens Flashdisks.
Malam konsert bertambah gamat apabila Sal Priadi menyanyikan lagu ‘Mesra-mesraan Kecil-kecilan Dulu’, lagu viral ‘Dari Planet Lain’, ‘Amin Paling Serius’ dan pastinya lagu wajib, ‘Gala Bunga Matahari’ dengan sorakan penuh emosi dan ada di antara penonton yang hadir kelihatan menitiskan air mata, terkesan dengan bait-bait liriknya yang menyentuh perasaan.
Sal Priadi yang sememangnya sinonim dengan karya-karya puitis dan melodi yang memikat, bukan sahaja memukau penonton dengan suara emasnya, tetapi juga dengan karakternya yang ‘quirky’ dan bersahaja menjadikannya begitu dekat di hati peminat, ditambah pula dengan interaksi mesranya bersama penonton, menciptakan suasana yang sangat intim, penuh gelak tawa dan kegembiraan.
Kuala Lumpur sangat istimewa bagi saya, saya berbesar hati dapat berkongsi muzik saya dengan peminat di sini, dan berterima kasih buat semua yang hadir dan anda semua hebat, memang ‘Dari Planet Lain’.
Lebih dari 2 jam
Persembahan yang memakan masa selama 2 jam lebih membawa penonton melalui 40 buah lagu kesemuanya, di mana setiap lagu diiringi dengan paparan audio visual yang menarik direka khas untuk menonjolkan jalan cerita dan ‘mood’ yang cuba disampaikan.
Dengan kejayaan konsert ini, Kharisma Music dan Sal Priadi bertekad untuk terus membawa lebih banyak acara muzik berkualiti kepada peminat di Malaysia, kata En. Ahmad Jeffny, “Tujuan utama kami adalah membawakan sajian hiburan yang berkualiti buat peminat muzik di Malaysia dan rantau Asia Tenggara dengan rangkaian genre yang pelbagai, oleh itu nantikan lebih banyak kejutan dari Kharisma Music!