Seakan tidak begitu mendapat tempat di dalam industri hiburan tanah air, penyanyi kelahiran Mentor, Salma akui pernah terdetik untuk tidak lagi meneruskan kariernya dalam bidang nyanyian.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Kenal Siapa Suami & Tahu Bagaimana Sikapnya’- Salma
Sokongan peminat buatkan diri terus kuat
Namun begitu, Salma atau nama sebenarnya, Salma Andi Asis mendedahkan bahawa sokongan padu yang diberikan para peminat membuatkan dirinya terus teguh dan sentiasa berusaha untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan Malaysia.
Pernah lah juga terdetik macam taknak dah buat, macam malas dah lah tetapi peminat yang sentiasa sokong karier saya, selalu DM di Instagram bertanyakan ‘akak bila nak buat show lagi?’, ‘bila nak keluar tv lagi?’
Pertanyaan mereka itu membuatkan saya terharu dan katakan pada diri, ‘takpelah aku teruskan sajalah perjuangan ini’
Sebab menyanyi ini bukanlah satu hobi bagi saya, kalau hobi tu macam kita ni suka-suka sahaja tetapi ini adalah karier saya untuk mencari rezeki.
Salma mendedahkan perkara itu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri & Gawai SOCC Holdings Sdn Bhd yang diadakan di Forest Valley Hall pada petang Rabu.
Tertanya mana silapnya
Dalam pada itu, Salma turut mengakui bahawa dia berasa sedikit kecewa dengan perjalanan kariernya yang dilihat seakan tidak mendapat tempat setelah hampir 12 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan namun tetap percaya dengan rezeki yang sudah tertulis.
Ditambah pula dengan kehadiran muka-muka baharu dalam industri nyanyian tanah air yang dilihat begitu mudah untuk popular dan diterima pendengar.
Kecewa tu memang ada lebih-lebih lagi apabila gagal dan tak dapat buat apa yang kita nak tapi saya percaya pada rezeki. Kalau rezeki Salam belum sampai lagi, saya akan terus mencuba sampai betul-betul rasa puas dan apa yang kita nak itu tercapai.
Kadang-kadang tertanya apa silapnya, apa yang tak okay sebenarnya? Sebelum ni memang fikir jugalah (mengenai kenaikan muka-muka baharu) tetapi Salma ambil pendekatan untuk kekal positif.
Mungkin macam saya dah 12 tahun dalam industri tetapi ada pula penyanyi yang baharu terus meletup dan saya anggap itu mungkin rezeki mereka ditambah pula mereka mendapat lagu yang mesra pendengar dan senang untuk lekat di kepala.
Mungkin juga lagu-lagu yang saya dah keluarkan tidak mampu memikat hati pendengar tapi ada juga segelintir peminat yang terus menyokong walaupun tak berapa naik seperti penyanyi lain, jadi saya dah terapkan dalam diri sekiranya lagu ni tak berjaya, saya akan terus cuba lagi sampailah berjaya.
Sekadar info, meskipun pernah bergelar juara bagi pertandingan nyanyian Mentor bagi musim kelima, Salma pernah menyertai pertandingan nyanyian 3 Juara bagi mengembangkan lagi bakat serta kariernya yang dilihat seperti tidak mendapat tempat.