berita

Saman Remaja Kemaluan Terpotong Ketika Khatan Atas Kerajaan & 5 Pihak Dibatal

February 20th, 2019 | by faris
Isu & Kontroversi

Seorang remaja  berdepan detik hitam ketika berkhatan apabila kepala kemaluannya terpotong ketika proses berkenaan, 9 tahun lalu. Paling menyedihkan, dia mengalami kecacatan kekal gara-gara kesilapan itu.

Remaja berkenaan yang kini berumur 19 tahun telah bertindak menyaman pihak kerajaan Malaysia dan empat lagi pihak atas dakwaan kecuaian tersebut.

Khatan tidak dilakukan di hospital

Peguam remaja itu, Mohamad Zainuddin Abu Bakar berkata, saman remaja berkenaan berjaya dibatalkan selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad. Selain kerajaan selaku defendan, turut dinamakan adalah pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, pengarah hospital itu, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Menurut Mohamad Zainuddin, mahkamah membenarkan kelima-lima defendan membatalkan saman selepas mendapati tiada alasan untuk kes itu dibicarakan selain proses itu tidak dilakukan hospital dan di luar tanggungjawab hospital.

Kami akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini malah akan menggunakan peluang dan ruang yang ada demi keadilan anak guam kami.

Saman ke atas pembantu perubatan diteruskan

Walaubagaimanapun, saman terhadap pembantu perubatan yang juga defendan pertama tetap diteruskan selepas pembantu perubatan itu tidak mengemukakan permohonan membatalkan saman.

Remaja itu selaku plaintif mendakwa, pada 13 Disember 2010, defendan pertama itu bersama seorang lagi pembantu defendan kedua mengkhatankannya dengan kebenaran dan pengetahuan doktor bertugas. Ketika kejadian plaintif berusia 10 tahun dan ia dilakukan di sebuah kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Dakwa remaja itu, defendan pertama berkenaan tidak mengikut prosedur dan tidak berhati-hati apabila memotong keseluruhan kepala alat sulitnya. Akibat perbuatan kecuaian itu, kepala alat sulit remaja berkenaan terputus dan darah keluar dengan banyak.

Defendan pertama didakwa mendapatkan semula bahagian kemaluan yang terputus dan membuat penyambungan semula kepala alat sulit dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Sumber: Sinar Harian

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×