Pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017, Sanjna Suri, nekad untuk ‘meninggalkan’ gelaran ratu cantik kerana ingin menceburi bidang lakonan.
Artikel Berkaitan: Pernah Jadi Finalis Ratu Cantik Indonesia, Wanita Bangga Kini Bergelar Suri Rumah
Nak belajar berlakon
Menurut Sanjna, dia menyertai dunia glamor sejak lima tahun lalu namun sudah tidak lagi menyertai pertandingan ratu cantik.
Kata Miss Supranational Malaysia 2018, dia mahu memenuhi minatnya serta mengasah bakat dalam dunia seni tempatan.
Saya sangat berdedikasi untuk mengasah bakat yang ada. Saya minta orang lain jangan pandang pada rupa atau kecantikan saya sahaja, saya mahu belajar dalam industri lakonan.
Saya dikenali sebagai ratu cantik dan model yang boleh berlakon. Saya tak mahu lagi dikenali dengan gelaran terbabit kerana ia sudah berlalu.
Sekarang saya berusaha untuk dikenali sebagai pelakon kerana saya sudah tidak menyertai pertandingan ratu cantik dan kurang mengambil tawaran dalam bidang peragaan. Minat saya memang dalam dunia lakonan.
Nak pecahkan stereotaip
Sanjna yang pernah menghadiri beberapa bengkel lakonan bersama pelakon tersohor Fauziah Ahmad Daud sering diberikan watak cameo dalam drama-drama arus perdana.
Katanya lagi, dia terbuka untuk membawa pelbagai watak termasuklah menjadi wanita Islam, melakukan babak aksi atau menjadi tomboy.
Saya mula berlakon sejak 2018. Untuk industri hiburan Melayu, saya bermula sebagai watak sampingan dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.
Sangat susah nak ‘menembus’ dunia hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu dapat watak bukan Melayu, watak wanita India atau wanita berdarah campuran.
Saya nak pecahkan stereotaip terbabit kerana benar-benar berminat nak berada di pasaran arus perdana.
Saya tak kisah cerita itu memerlukan saya memakai tudung, melakonkan babak aksi atau karakter tomboy.
Saya 100 peratus terbuka menerima watak wanita Muslim. Saya menghormati semua agama dan saya pun memang membesar dalam kalangan orang Islam.
Sebagai pendatang baharu, saya tak boleh terlalu memilih dan mengambil tawaran yang datang, dalam masa yang sama, saya harap saya boleh memberikan kelainan.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Sanjna, Mundey Kampung Dey kini ditayangkan di pawagam bermula 15 Disember lalu.
Filem yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini diarahkan oleh Mansher Singh.
Saya memegang watak heroin bernama Keeran. Apa yang menariknya, filem ini merupakan naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.
Saya tak sangka lakonan saya mendapat respons positif media dari Pakistan. Mereka menggemari keserasian saya dan hero, Anwaar Beg Moghal.
Saya teruja kerana filem ini juga berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya berharap peminat dapat menyokong karya ini dengan menonton di pawagam.