Pelakon dan pengacara jelita, Che Puan Sarimah menjawab persoalan orang ramai yang mendakwa dirinya menghilangkan diri seketika dari industri seni tanah air sejak 15 tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Sarimah Ibrahim Sanggup Berhabis RM50,000 Demi ‘Qaidah’ – ‘Itulah Proses Merealisasikan Watak’
Nafi ‘hilang’ dari dunia seni
Ketika ditemui OhBulan!, pengacara berusia 45 tahun ini berkata, dia tidak pernah ‘hilang’ mahupun menyepi dalam radar industri hiburan.
Menurut Sarimah, dia tetap aktif namun berlaku beberapa perubahan fasa yang berlaku terhadap karier seninya selepas menerima tawaran menjadi penyampai radio berbahasa Inggeris pada tahun 2010.
Saya rasa, dari tahun 2009 hingga 2010, saya agak aktif sebab masa itu ada program Akademi Fantasia (AF).
Kemudian, saya habis kontrak dengan sebuah stesen televisyen swasta pada hujung 2010 sebelum menerima tawaran jadi penyampai radio berbahasa Inggeris.
Ketika itu, saya tak boleh tolak sebab ia satu peluang yang baik. Saya pula masa itu dah fikir nak simpan duit banyak untuk diri sendiri dan mahu beli rumah.
Selepas kontrak saya berakhir pada 2012, dapat pula tawaran jadi penyampai radio bahasa Inggeris di stesen lain pula.
Sarimah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pengamal media yang diadakan di Pullman Hotel Kuala Lumpur City Centre, baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu ‘Kau Tiada’ itu lagi, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berehat seketika dari industri seni selepas mendirikan rumah tangga pada 2015 bagi memberi memberi tumpuan kepada rumah tangga.
Pada 2018, Alhamdulillah, saya hamil dan bersalin pula ketika dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Jadi, dua tahun saya tak buat apa-apa namun saya melibatkan diri dengan program bermanfaat yang terlibat dengan program isu kesihatan mental bersama Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA).
Kini, Sarimah kembali dalam industri seni dan membuat kemunculan semula sebagai watak Qaidah menerusi drama ‘Lelaki Itu’.
Lebih manis, watak yang dilakonkan Sarimah itu menghasilkan impak yang kuat apabila berjaya meraih lebih 3 juta jumlah tontonan setiap episod dan lebih 1 bilion carian di media sosial.
Sekadar info, Sarimah bertemu jodoh dengan suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzafar yang merupakan cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 pada 2 April 2015.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia empat tahun.