Peserta program Herodewi Remaja 2023 yang dikenali sebagai Arabella akui ramai pihak yang mengatakan wajahnya mirip dengan aktres terkenal, Anna Jobling.
Artikel Berkaitan: ‘Gila! Memalukan & Mendatangkan Fitnah’ – Anna Jobling Bakal Ambil Tindakan Selepas Foto Aib Versi AI Tular
Enggan disamakan
Ketika ditemui OhBulan!, Arabella bagaimanapun berkata dia enggan dirinya disamakan dengan pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu.
Menurut Arabella yang juga bekas atlet gimnastik negara, dia mempunyai kelebihan dan aura tersendiri.
Memang ramai orang yang samakan kami. Saya tak mahu orang gelarkan saya sebagai Anna Jobling 2.0. Saya mahu dikenali sebagai Arabella.
Saya berharap agar perkara seperti ini dapat dihentikan. Saya ada karakter, aura dan bakat tersendiri. Itu yang saya ingin tunjukkan kepada orang ramai.
Ada kalanya saya memang ada rasa rimas sebab kerap sangat orang cakap begitu dekat saya.
Arabella berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Herodewi Remaja 2023 yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, gadis berusia 18 tahun itu berharap orang ramai tidak tersalah anggap dengan kenyataannya.
Jelas Arabella, dia mengagumi pencapaian yang telah diraih Anna dan ingin mengikuti jejak langkah aktres itu.
Jangan salah tafsir dengan kenyataan saya. Saya juga sukakan Anna. Dia merupakan alumni Dewi Remaja dan kerjaya lakonannya pula sangat baik.
Saya memang mahu mengikut jejak langkah Anna tapi saya masih mahu dikenali sebab diri saya sendiri dan bukan orang lain.