berita

‘Saya Bukanlah Ibu Yang Sempurna, Masih Lagi Belajar’ – Siti Nurhaliza

June 23rd, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Menjadi Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan satu perkara mudah. Bergelar penyanyi nombor satu negara, menjadi usahawan berjaya dan dalam masa memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Siti Nurhaliza Menangis Di Depan Kaabah, – ‘Ni Yang Saya Rindu, Jadi Orang Biasa’

Ibu bekerjaya

Ketika ditemui OhBulan!, Siti akui pernah terlintas di fikiran untuk memperlahankan perjalanan karier seni dan memberi fokus terhadap keluarga.

Saya pernah terdetik untuk memperlahankan kerjaya seni demi keluarga terutama anak-anak. Ada waktu saya perlu keluarga bekerja seawal Subuh dan balik waktu malam. Anak-anak pun sudah tidur.

Saya rasa kasihan lebih-lebih lagi terhadap Afwa yang masih kecil. Afwa pun sudah pandai merajuk dan tidak mahu lepaskan saya. Jadi saya rasa bersalah.

Kata penyanyi berumur 43 tahun, dia adalah seorang ibu yang bekerjaya jadi dia harus bijak membahagikan masa agar seimbang.

Saya adalah seorang ibu bekerjaya yang ada tanggungjawab terhadap pekerja-pekerja saya. Jadi saya akan cuba bahagikan masa sebaik mungkin.

Jika bulan ini saya sibuk menguruskan perniagaan, bulan seterusnya saya akan fokus pada nyanyian. Jadi saya dapat bahagi-bahagikan masa.

Saya pun sudah berbincang dengan mana-mana pihak sama ada dalam bidang perniagaan atau hiburan supaya jadual saya tidak dibuat terlalu padat agar ada masa untuk bersama keluarga.

Siti berkata demikian ketika sidang media ‘Queen Of The Night’ di Menara Berkembar Petronas, pada Rabu.

Pembantu banyak tolong

Dalam pada itu, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin menyatakan dia bukanlah ibu yang sempurna kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

Ujar pelantun lagu Anta Permana, dia sangat berterima kasih dengan kehadiran pembantu yang telah meringankan urusan menguruskan kedua cahaya matanya.

Saya juga masih lagi belajar. Kalau ikutkan, ketar juga kalau saya tidak ada pembantu untuk menguruskan dua orang cahaya mata.

Tapi alhamdulillah, saya ada pembantu yang boleh tolong saya tengok-tengokkan Aafiyah dan Afwa. Saya rasa lega dan boleh buat kerja dengan tenang.

Kalau tidak ada mereka (pembantu), mungkin saya boleh lelah kerana terlalu penat dan tidak cukup tidur.

Untuk rekod, Siti berkahwin dengan Datuk Khalid Mohd. Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4, dan Muhammad Afwa yang kini berusia setahun.

Sumber: Instagram @ctdk

SKIP THIS AD ×