Kontroversi antara hubungan pelakon kacak, Johan As’ari dan Nabila Huda bukanlah sesuatu yang baru dalam industri seni tempatan. Isu ini telah mula dibangkitkan oleh pihak media sejak terlihat keakraban antara mereka setelah disatukan dalam sebuah drama bersiri TV3, “Pelangi Kasih” pada Januari yang lalu.
Namun begitu, menerusi laporan Utusan Online semalam, Johan dikatakan masih belum bersedia untuk melangkah ke perhubungan yang lebih jauh dan dirinya mahu mengutamakan bidang lakonan terlebih dahulu.
“Saya dah fikir masak-masak. Bagi saya, karier itu perkara utama. Mak pun beritahu saya agar fokus kepada karier terlebih dahulu.”
“Lagipun saya masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Buat masa sekarang, saya dan dia (Nabila Huda) hanya berkawan dan saya tulus berkawan dengan dia,” akui Johan dengan jujur.
Selain itu, Johan turut mengucapkan terima kasih kepada Nabila Huda kerana sentiasa memberi dorongan kepadanya dan sebagai pendatang baru, Johan akui dirinya perlukan seseorang untuk mengajar dan membimbingnya mengenai selok-belok dalam dunia lakonan.
Pada bulan Julai yang lalu, pihak OHBULAN! telah menyiarkan satu laporan mengenai pasangan ini, di mana Johan dikatakan telah mencurahkan perasaannya kepada Nabila menerusi laman Twitter miliknya dengan menulis beberapa status romantik.