Penyanyi Anuar Zain mengakui air matanya masih gugur apabila mengenangkan ribuan nyawa rakyat Palestin yang terkorban dalam peperangan bersama Israel di bumi Gaza sehingga hari ini.
Artikel Berkaitan: Hujan & Kesesakan Lalu Lintas Bukan Penghalang! 8000 Penonton Banjiri Stadium Malawati Demi Anuar Zain
Peka dengan isu yang sedang berlaku
Anuar yang ditemui selepas selesai Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu berkata, timbul kebimbangan di hatinya untuk meneruskan konsert pada malam tersebut. Namun begitu, pelantun suara ‘Sedetik Lebih’ ini tetap meneruskan konsert yang sudah dirancang lebih awal itu.
Meskipun konsert diteruskan, Anuar memberitahu dia masih peka dengan isu Palestin-Israel. Tambah Anuar, dia tidak pernah gagal berkongsi hantaran dalam Instagram menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin sejak Israel membedil Gaza.
Memang timbul kebimbangan untuk meneruskan konsert, tapi saya sedaya upaya menunjukkan kasih sayang, belas ihsan dan simpati terhadap rakyat Palestin pada awal konsert lagi. Saya sendiri tidak ketinggalan membuat hantaran sejak awal Israel membedil bumi Gaza.
Pada minggu pertama serangan tercetus, saya menangis melihat kanak-kanak dan orang tua menjadi mangsa korban. Mungkin saya tidak tunjukkan kesedihan secara terbuka, tapi saya sangat sensitif dengan apa yang mereka lalui.
Selain titipan doa tidak putus, Anuar menyeru rakyat Malaysia yang berkemampuan menghulurkan sumbangan agar dapat membantu dan meringankan beban masyarakat di Palestin.
Mereka cuma ada doa dan kasih sayang daripada kita. Jadi, kepada sesiapa yang ada rezeki lebih, infaqlah. Ini kerana apa yang berlaku sangat kejam. Kita doakan urusan mereka teraniaya dipermudahkan. Walaupun kelihatan seperti sedang bergembira, tapi di hati kita tetap bersimpati terhadap rakyat Palestin.