Tindakan biadap sekumpulan remaja membuli warga emas, Wan Bidah Wan Deraman mengundang padah apabila mereka ditahan pihak polis. Kejadian yang berlaku di Banggol Pauh, Bekelam, Bachok itu menyebabkan Wan Bidah mengalami lebam-lebam di badan.
Artikel berkaitan: [VIDEO] ‘B*doh, Kecik Tok Sey Mapuh’ – Buli Warga Tua, Tindakan Kurang Ajar Remaja Dikecam
Memetik laporan Kosmo! , keempat-empat remaja berkenaan ditahan selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Sering diganggu
Lapor Kosmo! lagi, Wan Bidah yang merupakan seorang ibu tunggal berjalan seorang diri pada malam Rabu menuju ke rumah. Kemudian, dia didatangi beberapa orang remaja lelaki cuba menendang dan melastiknya menggunakan batu.
Saya menjerit sekuat-kuatnya merayu agar mereka tidak melastik saya kerana bimbang mata menjadi buta.
Saya kemudian cuba memukul kumpulan lelaki itu dengan menggunakan payung sebelum terus melarikan diri.
Saya sering diganggu kumpulan yang sama dan kini trauma untuk keluar bersendirian.
Tambahnya lagi, kejadian pada malam itu menyebabkan dia mengalami lebam dan sakit pada bahagian lengan selepas dilastik dua remaja.
Ditahan polis
Ekoran daripada kejadian tersebut, dua remaja yang merupakan anak sepupu kepada mangsa menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 2.30 petang semalam.
Manakala dua lagi remaja termasuk perakam video ditahan polis selepas menyerah diri di balai polis kira-kira jam 5.30 petang pada hari yang sama.
Mahkamah Majistret Pasir Puteh membenarkan empat remaja tersebut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.
Sumber: Kosmo!