
Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq mengharapkan keadilan menjelang keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana ARMADA di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, pada hari ini.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Doakan Kebenaran, Keadilan & Ketenangan Sentiasa Bersama Syed Saddiq’ – Bella Astillah
Artikel Berkaitan: ‘Doa Adalah Perisai Yang Terakhir, Kita Dah Berusaha & Sekarang Berserah Pada Allah’ – Syed Saddiq
Syed Saddiq berserah pada Allah
Menerusi hantaran di Instagram, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan bahawa dia telah melalui pelbagai proses undang-undang namun tidak pernah meminta kes tersebut ditangguhkan, diberikan jalan pintas mahupun layanan istimewa.
Enam tahun saya melawan demi keadilan. Saya disiasat, didakwa, sampai akhirnya di Mahkamah Rayuan keadilan ditegakkan dengan keputusan sebulat suara 3-0. Saya dibebaskan sepenuhnya. Tapi perjuangan itu belum selesai.
Ujar Syed Saddiq lagi, keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini merupakan penentuan terakhir dalam kes yang telah berlarutan sejak enam tahun lalu.
Saya akan berdiri sekali lagi bukan untuk lari daripada sistem, bukan untuk tarik simpati, tapi untuk pertahankan nama, prinsip, dan maruah saya.
Saya sudah berjuang sehabis baik. Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat. Kini, saya serahkan seluruhnya kepada Allah
Syed Saddiq turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak berputus asa terhadap negara serta terus mempertahankan keadilan dan integriti.
Dia juga memohon doa agar keputusan mahkamah pada hari ini berpihak kepada keadilan.
Kepada rakyat Malaysia, saya mohon satu perkara. Jangan putus asa dengan negara ini. Terus bersuara, terus lawan kebatilan dan terus pertahankan kebenaran walaupun kita terpaksa berdiri seorang diri.
Doakan saya, doakan untuk keadilan ditegakkan di mahkamah esok hari. Terima kasih.
Sumber: Instagram Syed Saddiq








