Pempengaruh dan usahawan sensasi, Siti Jamumall tampil memberi pencerahan tentang status dirinya selepas timbul pelbagai persoalan di media sosial.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tiga Jam ‘Ditidurkan’, Siti Jamumall Syukur Selamat Jalani Pembedahan
Enggan ada fitnah
Menurut Siti, dia dan suami sudah bercerai dengan talak satu sejak tahun lalu selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Kata Siti, 24, dia terpaksa membuka mulut selepas ramai yang bertanya keberadaan bekas suami ketika dia melakukan siaran langsung di TikTok.
Saya sudah lama bercerai, jadi berhenti buat fitnah. Perceraian ini sakit. Walaupun apa yang dilihat dan dilalui ini mengganggu emosi, saya simpan dan tak beritahu sesiapa kecuali keluarga dan rakan rapat saja. Dulu lagi saya jenis tak kongsi kisah peribadi terutama rumah tangga.
Cuma sejak kebelakangan ini saja apabila saya buat sesi siaran langsung di Tiktok, ramai bertanya mana suami, lama tak muat naik gambar dan video bersama, jadi saya rasa ini masa terbaik untuk saya kongsikan perkara sebenar.
Lagi pula saya pun dah habis edah dan simpan perkara ini lama. Dalam masa sama, nak elakkan fitnah berlaku. Jadi, saya tak nak lagi ada komen bukan-bukan. Sebab mereka tak tahu apa-apa. Saya tak nak ada fitnah berlaku.
Kena ada duit sendiri
Dalam pada itu, pemilik nama Siti Suriani Wahiddin berkata episod perceraian yang berlaku memberikan impak besar terhadap diri dan kehidupannya.
Bagaimanapun, dugaan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk bangkit semula meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal bersama dua cahaya mata.
Apa yang berlaku ini memberi impak besar kepada kehidupan saya. Saya hanya berkongsi perkara ini kepada keluarga dan rakan rapat saja. Mereka yang banyak berikan sokongan dan semangat untuk teruskan kerjaya.
Saya dari umur 16 tahun dah biasa berdikari dan cari rezeki. Bila bercerai ini, hidup perlu diteruskan. Saya sentiasa ingat pesan mak, menjadi perempuan macam mana kaya pun suami, tapi kena ingat kena ada duit sendiri dan cari duit sendiri.
Jadi apabila bercerai, saya sedar ia sangat penting. Kalau contoh saya tak ada apa-apa, mungkin sukar untuk saya teruskan hidup dan besarkan anak-anak. Saya mencari rezeki untuk besarkan dua anak lelaki. Saya yakin ramai juga ibu tunggal yang kuat untuk membesarkan anak-anak.
Saya buat berniaga dan buat sesi siaran langsung. Tujuan saya untuk mencari rezeki halal untuk anak-anak. Saya tak baik mana, banyak jahat saya, saya tahu. Kalau anda tengok saya memekik dalam ‘live’, itu adalah kandungan yang dibuat semata-mata.
Sekadar info, hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2.