berita

‘Saya Tak Kisah Kita Hidup Susah Sekalipun Asalkan Awak Selalu Ada Dengan Saya’

October 1st, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Kumpulan Caliph Buskers telah membuktikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga mampu berjaya dan bertahan dalam industri hiburan tanah air. Muncul buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu beberapa tahun yang lalu, vokalis utamanya Azmi Saat yang mempunyai vokal suara yang tinggi sering kali membuat pendengar lagu mereka terpukau.

Dikenali sebagai seorang yang mesra dan gemar membuat lawak, Azmi Saat berkongsi kisah sebak dirinya bersama isteri sejak bergelar artis. Dia menceritakan kembali bagaimana terluka hati seorang isteri apabila si suami sibuk dengan kerjaya sehinggakan keluarga terabai.

Ujian untuk kau

Minggu lepas berpeluang jumpa dengan kawan yang dah lama tak jumpa. Alang-alang ada kerja di Johor, curilah masa sedikit bertemu beliau walau pun letih sebenarnya.

Dalam kami berbual, sempat saya tanyakan “anak kau dah boleh buat apa sekarang?”

“Anak aku dah mula bercakap. Tapi aku sedihlah. Aku baru je berpisah dengan isteri aku.”

Inna lillahi wainna ilaihi raji’un. Punyalah terkejut saya. Masih terngiang-ngiang perbualan saya dan beliau dalam telefon beberapa tahun lepas. Punyalah teruja beliau bercerita yang beliau bakal menhjadi bapa selepas gigih berikhtiar. Tup tup hari ni jumpa dah berpisah. Macam tak percaya.

“Macam mana boleh jadi macam tu?”

“Isteri aku tak faham kerja kita Mi. Biasalah pemuzik. Kadang-kadang kena pergi buat persembahan jauh-jauh. Kalau musim sibuk aku jarang ada masa dengan dia. Waktu itulah dia asyik merungut. Lama-lama tak tahan juga aku.”

“Oh. Sabarlah ya. Ini ujian untuk kau orang.” Hanya itu yang mampu saya katakan pada beliau walau pun dalam hati macam-macam yang mahu saya kongsikan namun tak sanggup Mengenangkan beliau baru sahaja berpisah.

Isteri tak pernah minta kemewahan

Sebenarnya saya juga pernah melalui pengalaman begitu. Baru-baru ini saya menolak tawaran berlakun drama yang sepatutnya penggambarannya akan dilaksanakan dalam bulan oktober ini kerana perlu meninggalkan isteri selama satu minggu. Saya pernah juga tolak tawaran menjadi artis rakaman walau pun lagunya sudah dirakamkan kerana jadual promosi yang memerlukan saya terpaksa meninggalkan isteri beberapa hari. Banyak lagi undangan yang pernah saya tolak walau pun bayarannya agak lumayan. Semuanya kerana jadual yang padat memerlukan saya terpaksa mengorbankan masa bersama isteri.

Sejak awal perkahwinan saya dan isteri, dia tak pernah minta kemewahan. Cuma satu yang dia minta ia itu masa di sebelah malam. Isteri saya boleh jadi sampai tak boleh tidur kalau ditinggalkan waktu malam. Tak tahulah kenapa. Dia akan resah, bimbang dan takut bila berseorangan waktu malam. Tak ramai orang yang faham. Cuma orang yang rapat sahaja yang tahu masalah dia.

Selalu bertengkar dengan isteri

Dulu saya dan isteri kerap bertengkar. Waktu awal Caliph Buskers dikenali, jadual kami terlalu padat. Saya tak boleh tolak undangan kerana saya penyanyi utama. Biasanya penganjur tak mahu mengundang jika saya tak ada.

Setiap kali undangan yang memerlukan kami bermalam, setiap kali itulah saya dan isteri akan bertengkar. Ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan perasaan saya sewaktu bekerja. Walau pun dapat bayaran tapi tak ada ketenangan. Saya menghiburkan orang tapi diri sendiri tak terhibur. Saya menggembirakan orang tapi isteri sendiri dirumah bersedih. Apakah maknanya?

Siapa saya untuk menghalang kerjaya awak

Sampailah satu masa bila terlalu banyak bergaduh, isteri saya meluahkan isi hatinya. “Dari awal perkahwinan kita cuma satu sahaja yang saya minta. Saya sangat memerlukan awak di waktu malam. Semenjak awak dah jadi artis saya selalu ditinggalkan. Saya faham awak ada kerjaya sekarang tapi saya sangat perlukan awak. Saya tak kisah kita hidup susah sekalipun asalkan awak selalu ada dengan saya.”

“Siapalah saya untuk menghalang awak mengejar kerjaya awak. Sekarang saya minta awak buatlah pilihan. Jika awak benar-benar mahu mengejar kerjaya sebagai penyanyi yang sibuk, tolonglah lepaskan saya. Namun seandainya awak lebih memilih saya, buatlah sesuatu supaya saya tak selalu ditinggalkan bersendirian.”

Apa lagi yang mampu saya katakan? Sejak dari saya tak punya apa-apa walaupun duit untuk hantaran perkahwinan kami dialah yang bantu saya. Dua tiga tahun awal perkahwinan saya tak mampu memberi nafkah secukupnya pada dia tapi tak pernah sekali pun dia merungut. Malah dialah yang banyak membantu sampai saya boleh menjadi pemuzik. Dia pinjamkan duit untuk saya beli barang-barang muzik. Dia teman saya bmenyertai pertandingan menyanyi sana sini supaya orang tahu bakat saya. Dia yang beri semangat supaya saya jangan berhenti menyanyi walaupun waktu itu rasanya mustahil seorang buta boleh menjadi penyanyi di Malaysia.

Dah tak popular peluk isteri 24 jam

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk maklumkan pada ahli-ahli Caliph Buskers tentang pendirian saya. Sekiranya ada kerja yang memerlukan kita bermalam tolong maklumkan awal supaya saya boleh carikan teman untuk isteri saya. Jika tak ada orang yang boleh temankan, saya terpaksa tolak sebesar apa pun juga tawarannya. Begitu jugalah yang saya sampaikan pada pihak KRU Music selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan kami waktu itu.

Bermacam-macam kata-kata yang saya terima selepas saya suarakan pendirian saya. Ada yang kata saya takut bini. Ada yang kata saya tak akan ke mana kalau berpendirian begitu. Ada juga yang kata saya bodoh kerana menolak rezeki. Pernah juga saya terima nasihat,”Kau bincanglah elok-elok dengan isteri kau. Kerja sebagai artist ni bukannya bertahan lama. Setiap tahun akan ada penyanyi baru yang muncul. Waktu kau tengah naik inilah masa untuk kau kumpul duit banyak-banyak. Nanti kau dah tak popular kau peluklah isteri kau 24 jam.”

Tertekan dengan kata-kata mereka

Jujurnya tertekan juga dengan kata-kata mereka. Sampailah akhirnya saya ditemukan dengan seseorang yang benar-benar membuat saya tekad dengan pendirian saya. Masih saya ingat kata-kata beliau. “Mi. Isteri ni tanggungjawab kita. Selain bagi makan, tempat tinggal dan pakaian, ketenangan dan kebahagian juga wajib seorang suami berikan pada isteri. Untuk apa banyak duit kalau tak gembira. Untuk apa kaya kalau tak bahagia.?

“Isteri yang baik tak akan sama nilainya dengan semua kemewahan yang ada di dunia ni Mi. Mereka akan sentiasa ada waktu kita susah. Mereka yang jaga waktu kita sakit. Mereka akan sambut waktu kita jatuh. Aku dapat rasakan isteri kau seorang yang baik. Kau hargailah dia. Tak akan pernah rugi kalau kau bahagiakan isteri yang baik. Kalau kau orang sepakat dalam berumah tangga, percayalah rezeki akan datang melimpah ruah lepas ni.”

Sayangilah pasangan kalian

Saya jadi tenang bila dengar nasihat itu. Tanpa saya sangka, macam-macam tawaran yang saya dapat selepas isteri redha dengan apa yang saya buat. Saya ditawarkan untuk menyertai Gema Gegar Vaganza musim pertama dan dapat ke final. Saya dapat tawaran menggantikan Faizal Tahir untuk AJL 32 dan dapat tempat ke dua. Dapat juga berpeluang menjadi juri untuk Mikrofon Impian awal tahun itu hari. Baru-baru ini saya dapat pula tawaran bertanding di Muzikal Lawak Superstar. Semua ini peluang-peluang yang tak pernah saya terfikir akan saya terima. Dalam masa yang sama Caliph Buskers juga tak pernah putus rezeki walau pun kami sepenuh masa mencari nafkah dengan bermuzik.

Kawan-kawan. Sayangilah pasangan yang benar-benar sayangkan kalian. Dalam sibuk mencari rezeki, luangkanlah masa bersama kerana itu juga hak mereka. Fahamilah pasangan kalian kerana tiada siapa lagi yang layak memahami mereka selain kita. Yakinlah rumah tangga yang penuh dengan kasih sayang pasti akan diberkati. Mudah-mudahan Allah limpahkan banyaknya kebaikan. Begitulah hendaknya.

Sumber: Azmi Saat

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×