Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun dikecam teruk selepas meluahkan kebimbangan mengenai konsert Justin Bieber yang mendapat sambutan hangat selepas tiket habis terjual dalam masa lima jam pada 31 Mac lalu.
Artikel Berkaitan: Bimbang Dengan Fenomena Konsert Justin Bieber, Ustazah Asma’ Mohon Ibu Bapa Halang Anak Pergi Ke Tempat Maksiat
Artikel Berkaitan: ‘Islam Bukan Agama Larang Hiburan Tetapi Jangan Sampai Buang Duit’ – Giliran Ustaz Azhar Idrus ‘Sentuh’ Pasal Konsert Justin Bieber
Adakah ibu bapa begitu naif?
Menerusi hantaran di Facebook, Ustazah Asma’ menyatakan teguran yang dibuat itu untuk melindungi anak muda supaya tidak terjerumus ke lubuk maksiat.
Kata Ustazah Asma’, konsert Justin Bieber itu akan menjadi permulaan kepada penzinaan kerana berlaku percampuran lelaki dan perempuan dan mungkin pengambilan minuman haram berlaku.
Yang ramai kecam juga dalam kalangan ibu ayah, katanya pergi bukan guna duit ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang lebih pedih.
Duhai ibu ayah, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang pada anak-anak sampai syurga dan berdoa untuk berkumpul di sana.
Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan.
Jika sebelum ini kita dihadapkan dengan fakta konsert M****** pun dah jumpa banyak K***** bersepah bila waktu pagi ketika pihak yang membersih kawasan menjalankan tugas.
Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan, namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan, pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal.
Bertemulah dengan kawan baru, sekelip mata nombor telefon saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama ‘sporting’ ibu ayah.
Tarik kain terselak
Bagi Ustazah Asma’, dia selaku pendakwah perlu bertanggungjawab dan tidak boleh menutup mata melihat kemungkaran.
Iya, istilah jangan jaga tepi kain orang terus dilaungkan walaupun kain itu dah terselak hingga membuka aib sendiri. Kita hanya ingin tarik kain itu supaya aibnya juga terpelihara, kerana prihatin dan tanggungjawab.
Kami selaku pendakwah menanggung amanah yang akan dihisab kelak. Saat melihat kemungkaran yang dibenarkan secara terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Adakah iman tidak bersuara, atau lesu juga bersama ayat sangka baik.
Terlalu sedih, bila budaya ini sampai ke tanah air sendiri, Malaysia yang dicintai, masing-masing boleh mengubah rasa itu kepada sesuatu yang dianggap biasa, normalisasi sengaja buat maksiat lepas tu taubat telah menjadi tipu daya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan.
Allahu Akbar, kita tahu tiket dah habis pun terjual. Satu konsert yang harganya sangat mahal begitu mendapat sambutan di negara Islam Malaysia. Selepas ini, nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul, atas nama hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme. Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.
Dalam pada itu, Ustazah Asma’ menegaskan dia tidak sedih dihina kerana jelasnya kesedihan lebih dirasai apabila kemungkaran tidak dicegah.
Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina. Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam.
Sumber: Facebook @Ustazah Asma’ Harun