berita

“Saya Tamatkan Zaman Bujang Bukan Untuk Menutup Kontroversi” – Apex Respon Isu Perkahwinan

November 21st, 2012 | by Ai
Kini Trending

Semua sedia maklum bahawa penjaga gol kebangsaan, Khaiful Fahmi Che Mat dan pasangannya, Leuniey Natasha akan mengakhiri zaman bujang mereka pada 28 Disember ini.

Berita tersebut telah disahkan oleh Khairul Fahmi atau Apex sendiri sewaktu berlangsungnya majlis sidang media yang diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.

Menurut pemain bola sepak ini, keputusannya untuk menamatkan zaman bujang bukanlah atas desakan sesiapa kerana ia sememangnya datang dari kerelaan diri sendiri dan atas perbincangan kedua-dua belah pihak.

“Keputusan ini memang dari hati saya sendiri. Jodoh itu rahsia Allah dan kita tak tahu bila rahsia tersebut akan dibongkarkan oleh-Nya. Mungkin sekarang dah tiba masanya untuk saya menamatkan zaman bujang.

“Walaupun saya kenal Leuniey dalam masa yang singkat, tapi dia seorang yang memahami kerjaya saya. Meskipun usianya masih muda, tetapi dia seorang yang berfikiran matang dan saya yakin dia mampu menjadi seorang isteri yang amat memahami.

“Sebelum ini saya memang tak pernah tipu peminat dan semuanya saya cakap dengan jujur dan ia datang dari hati saya sendiri,” ujar Apex kepada pihak media.

Menurut Apex lagi, buat masa sekarang dia sedang fokus kepada kerjaya terutama pertandingan Piala AFF Suzuki Cup yang akan berlangsung pada 25 November ini dan setelah itu  baru dia akan fikirkan soal majlis perkahwinannya bersama Leuniey.

“Saya harap dengan pengumuman ini semua persoalan akan terjawab dan saya ingin lebih fokuskan soal kerjaya. Setelah selesai pertandingan baru saya akan fikirkan soal perkahwinan dan segala persiapan untuk majlis tersebut.

“Buat masa sekarang, segala persiapan telah berjalan dengan lancar. Semua persiapan telah diuruskan oleh pihak keluarga dan Leuniey sendiri. Memandangkan Leuniey memiliki butik pengantin, jadi tiada masalah untuk membuat persiapan tersebut.”

Menyentuh mengenai detik-detik perkenalan pasangan ini, Apex ini akui mereka mula berkenalan sejak terlibat dengan produk ‘Simply Siti’ dan setelah itu hubungan mereka menjadi semakin rapat dan mula mengenali hati budi masing-masing.

Dalam pada itu, Apex turut akui dia mula melamar Leuniey pada bulan 10 yang lalu, akan tetapi tidak mengadakan sebarang majlis risik merisik seperti kebanyakan pasangan lain.

“Saya melamar Leuniey pada bulan 10. Ketika itu, keluarga saya datang berjumpa dengan keluarga Leuniey dalam satu majlis makan malam, tanpa majlis risik merisik dan sebagainya. Keluarga kami telah berbincang antara satu sama lain dan telah mengambil kata sepakat untuk membuat majlis pada Disember ini.

“Saya tamatkan zaman bujang bukan untuk menutup segala kontroversi, tetapi itu semua adalah jodoh. Selepas ini saya akan berani mengambil risiko dan kalau orang nak ambil tahu soal peribadi saya terima.”

Sewaktu majlis berlangsung, nampaknya Apex hanya datang seorang diri tanpa ditemani oleh pasangannya. Menurut Apex, Leuniey kini berada di Kelantan dan sedang ikuti kursus kahwin. Bagaimanapun dia meminta maaf atas perkara tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu perkahwinan tersebut, pasangan ini difahamkan akan mendapat liputan meluas daripada beberapa stesen media tempatan seperti, Astro Ria, Radio Era, Radio THR Gegar, serta portal hiburan Murai.com.

Untuk makluman, busana pengantin mereka akan direka oleh pereka fesyen terkenl, Ezuwan Ismail dan fabrik ditaja oleh gedung kain terbesar, Jakel.

Persiapan pelamin dan dekorasi majlis pula bakal mendapat sentuhan kreatif oleh pihak Ari Wedding Couture untuk majlis resepsi di The Royal Bintang Damansara, Kuala Lumpur, manakala untuk majlis resepsi di Kelantan, ia akan diuruskan oleh pihak N Touch Trade & Wedding Gallery Butik milik Leuniey sendiri.

SKIP THIS AD ×