berita

Saya Teringin Karya Ciptaan Yuna – Dato’ Siti Nurhaliza

December 4th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Baru-baru ini, Dato’ Siti Nurhaliza telah menjayakan program amal bertujuan mengumpul dana bagi pesakit kanser payudara yang dianjurkan oleh pihak Gleneagles Kuala Lumpur (GKL) bertempat di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.

Dalam program ini, Dato’ Siti Nurhaliza telah mendendangkan beberapa buah lagu daripada koleksi albumnya serta menyanyikan dua buah lagu pilihan berjudul ‘Terukir Di Bintang’ dan ‘Skyfall.’

Menurut Dato’ Siti, dia memilih untuk menyanyikan lagu Yuna dan Adele kerana beliau amat meminati lagu tersebut dan menyifatkan kedua-duanya mempunyai karisma tersendiri.

“Siti rasa Adele dan Yuna mempunyai karisma masing-masing. Siti memang suka lagu ‘Skyfall’ tambahan pula lagu ini menjadi lagu tema untuk filem James Bond yang digemari ramai. Lagu ‘Terukir Di Bintang’ ini pula mempunyai melodi dan lagu yang romantik macam lagu dulu-dulu” ujarnya sambil tersenyum.

Siti turut berkongsi mengenai pengalaman sulungnya membawa lagu berentak jazz dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Yuna dalam album terbaru yang akan datang.

“Ini pertama kali saya membuat persembahan dalam muzik jazz, jadi saya rasa teruja dan sangat berpuas hati dengan persembahan malam ini.”

“Siti memang meminati dan teringin untuk mendapatkan hasil karya Yuna menerusi lirik dan lagu ciptaan Yuna sendiri. Saya pernah mengutarakan isi hati saya kepada Yuna dan sampai sekarang masih menunggu hasilnya. Saya berharap Yuna dapat merialisasikan impian saya,” ujarnya lagi.

Merujuk perkembangan terbaru, Dato’ Siti Nurhaliza difahamkan bakal mengadakan konsert ‘Ekspresi Gemilang’ di 3 buah lokasi di Indonesia dan antara artis Malaysia yang turut terlibat adalah Shila Amzah dan Amy Search

Selain itu, konsert ‘Ekspresi Gemilang’ Dato’ Siti Nurhaliza turut menjemput beberapa artis Indonesia seperti Rossa, Ungu, Titi DJ serta Radja. Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu ‘Cindai’ ini akan berkampung selama seminggu di Indonesia bermula 9 hingga 15 Disember ini.

SKIP THIS AD ×